
GEORGE TOWN – Festival Citra Mutiara (FCM) 2026 dijangka menarik lebih 10,000 kehadiran pengunjung khususnya pelancong domestik dan antarabangsa sepanjang tiga hari penganjurannya, bermula 11 September ini.
Program Pelancongan Budaya itu dianjurkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) menerusi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Kerajaan Negeri yang akan berlangsung di Lebuh Armenian di sini.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, FCM merupakan program Pelancongan Budaya yang mengetengahkan kepelbagaian keunikan seni, budaya dan warisan Pulau Pinang kepada masyarakat tempatan dan pelancong.
Menurutnya, penganjurannya juga dapat memperkukukan daya tarikan George Town sebagai destinasi pelancongan budaya.
“Festival ini juga mempunyai potensi besar untuk menjadi antara acara pelancongan budaya yang menarik di Pulau Pinang khususnya apabila pelbagai aktiviti seni, persembahan kebudayaan pertandingan, pameran dan demonstrasi dihimpunkan dalam satu program,” katanya di sini, hari ini. Turut hadir ialah Ketua Pengarah JKKN, Mohd. Amran Mohd. Haris.
Beliau memberitahu lagi, antara tarikan utama festival berkenaan adalah Perarakan Budaya Citra Mutiara melibatkan 200 peserta yang akan melalui laluan sejauh 800 meter di sekitar Lebuh Armenian.
FCM merupakan penjenamaan semula daripada Festival Balik Pulau yang telah dilaksanakan sejak 2019.
“Jadikan festival ini sebagai ruang untuk kita mengenali, menghargai, dan meriahkan kepelbagaian seni, budaya dan warisan Pulau Pinang,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE
The post Festival Citra Mutiara sasar 10,000 pengunjung appeared first on Kosmo Digital.




