Festival Kraf Perak 2026 mampu raih RM1.8 juta nilai jualan

LocalBusiness & Finance
31 Aug 2026 • 7:58 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Festival Kraf Perak 2026 mampu raih RM1.8 juta nilai jualan

TELUK INTAN – Penganjuran Festival Kraf Perak (FKP) 2026 oleh Kraftangan Malaysia di sini, berupaya menghasilkan nilai jualan sebanyak RM1.8 juta tahun ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata, nilai jualan itu diunjurkan mereka ekoran FKP tahun lalu yang menyaksikan sebanyak RM1.75 juta berjaya dicapai.

Beliau berkata, sasaran itu boleh dicapai lebih tinggi dengan pelbagai aktiviti baharu yang diadakan melalui pelbagai kerjasama dengan jabatan dan agensi kerajaan serta swasta di Perak.

“Pelbagai aktiviti menarik yang disediakan kepada pengunjung termasuklah padanan perniagaan, pameran produk kraf baharu, pameran Institut Kraf Negara dan aktiviti interaktif kraf.

“Turut diadakan ialah persembahan kesenian, lawatan berpandu, Larian Kraf Perak serta pelbagai pertandingan dan kuiz interaktif,” katanya di sini kelmarin.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Sesi Jelajah Mesra FKP 2026 di Dataran Menara Condong di sini.

Pada majlis tersebut, beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada rakan strategik yang menyokong penganjuran festival itu, antaranya Pejabat Daerah Hilir Perak, Majlis Perbandaran Teluk Intan, Polis Diraja Malaysia, Tourism Perak dan beberapa agensi serta organisasi lain.

Shaharuddin berkata, kerjasama strategik pelbagai pihak telah menyokong penganjuran FKP kali ke-10 di lokasi ikonik Menara Condong Teluk Intan.

“Ia sekali gus memperkukuh usaha mempromosi produk dan warisan kraf tempatan kepada masyarakat serta pelancong. Kita yakin sehingga 110,000 pengunjung akan hadir ke FKP 2026,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, penganjuran FKP 2026 berlangsung selama sembilan hari iaitu bermula 29 Ogos hingga 6 September depan bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam.

“Festival itu menyediakan platform kepada usahawan kraf untuk mempromosi dan mengkomersialkan produk tempatan, di samping meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap warisan kraf negara.

“FKP 2026 menghimpunkan 61 usahawan kraf dari seluruh negara dalam bidang tekstil, hasil rimba, hasil tanah, hasil logam dan aneka kraf,” katanya.

Shaharuddin berkata, produk kraf dari bidang tekstil khasnya batik menyaksikan penyertaan ­paling ramai iaitu 26 orang usahawan kraf diikuti bidang kraf hasil rimba sebanyak 13 orang usahawan, sete­rusnya logam, aneka kraf dan hasil tanah.

Selain itu, turut terlibat ialah komuniti kraf baharu Negeri Perak menerusi tujuh Projek Pembangunan Kemahiran Komuniti (PPKK) sebagai platform simulasi perniagaan dan pengembangan kemahiran keusahawanan.

“Sesi Jelajah Mesra turut menampilkan persembahan Tarian Singa oleh Persatuan Tarian Singa Hong De Teluk Intan serta demonstrasi ukiran kayu yang menampilkan tiga generasi penggiat kraf.

“Penglibatan ini memperlihatkan kesinambungan usaha Kraftangan Malaysia dalam melahirkan tenaga mahir dan memastikan ­kelangsungan seni ukiran kayu sebagai warisan negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, penganjuran FKP turut ­dimeriahkan dengan Aktiviti Sambutan Ambang Kemerdekaan semalam bermula pukul 10 malam hingga 12 tengah malam tadi.

 

The post Festival Kraf Perak 2026 mampu raih RM1.8 juta nilai jualan appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved