
SERDANG: Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 menerima lebih satu juta pengunjung dalam tempoh tiga hari pertama penganjurannya sejak 28 Ogos lalu.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, jumlah pengunjung direkodkan setakat ini mencapai 1,008,158 orang dengan purata 336,052 pengunjung sehari.
Beliau berkata, sebanyak 184,530 kenderaan turut direkodkan memasuki MAHA 2026 sepanjang tempoh berkenaan.
Katanya, MAHA 2026 turut mencatat nilai jualan melebihi RM5 juta, manakala potensi jualan pula melebihi RM7 juta.
“Sasaran kita sekurang-kurangnya RM58 juta. Pengagihan jualan ini, kita lihatlah kemudian sebab mereka kalau berbelanja agak besar ini bila di penghujung, terutama pembelian benih-benih tumbuhan tetapi sekarang ini sudah menghampiri RM6 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Peluncuran Laman Padi dan Pengiktirafan Malaysia Book Of Records pada MAHA 2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, Kementerian mengambil maklum mengenai aduan pengunjung termasuk isu kekurangan kenderaan pengangkutan untuk membawa mereka ke lokasi tertentu di kawasan MAHA.
“Kita ada jawatankuasa dan mesyuarat dilakukan setiap malam untuk mengkaji apa rungutan dan sebagainya. Kemarin kita tambah perkhidmatan.
“Tadi saya lalu tadi depan pavilion negeri-negeri. Saya tengok beratur begitu panjang tapi kita sudah beritahu pada pihak pengurusan mencari jalan untuk mengangkut mereka dengan segera sebab cuaca panas,” katanya. – UTUSAN
The post MAHA 2026: Lebih sejuta pengunjung dalam tiga hari appeared first on Utusan Malaysia.






