
SERDANG: Festival automotif Perodua vs Proton 2026 Edisi 4.0 mencatat sambutan luar biasa apabila lebih 50,000 pengunjung membanjiri Parkir 1A, Tapak Pameran Agro Malaysia Serdang (MAEPS) sepanjang dua hari penganjuran yang berakhir semalam.
Pengarah Program Bersama, Muhammad Syamim Zulkifli dan Shah Affendi berkata, jumlah kehadiran itu membuktikan komuniti pemilik Perodua dan Proton masih mempunyai minat tinggi terhadap dunia automotif tempatan.
Menurut mereka, hari pertama festival menyaksikan antara 5,000 hingga 7,000 kenderaan hadir dengan jumlah pengunjung dianggarkan mencecah 15,000 orang.
Angka berkenaan meningkat dengan ketara pada hari kedua apabila kira-kira 10,000 kenderaan bersama lebih 35,000 pengunjung hadir, sekali gus menjadikan edisi kali ini antara penganjuran paling meriah sejak diperkenalkan empat tahun lalu.
“Alhamdulillah, sambutan tahun ini lebih meriah daripada sasaran kami dan terima kasih kepada semua komuniti Perodua serta Proton yang memberikan sokongan sangat memberangsangkan,” kata mereka.
Festival selama dua hari itu menghimpunkan pemilik kenderaan, peminat automotif dan komuniti modifikasi dari seluruh negara menerusi pelbagai pameran serta konsep ubah suai kenderaan.
Antara acara yang menjadi perhatian ialah pertandingan mencari jentera dengan modifikasi paling menarik dan gempak, sekali gus memberi peluang kepada peserta mempamerkan kreativiti masing-masing.
Muhammad Syamim dan Shah Affendi berkata, penganjuran itu turut membantu mengembangkan komuniti permotoran tempatan dengan menyediakan platform untuk menghimpunkan semula peminat Perodua dan Proton dari seluruh negara.
“Bila kita buat acara ini, kita dapat menghimpunkan dan menyatukan semula pengguna Perodua dan Proton dari seluruh negara,” kata mereka.
Bagi edisi akan datang, penganjur bercadang mengekalkan Kuala Lumpur dan Selangor sebagai lokasi utama kerana kedudukannya strategik serta mudah diakses peserta dari Utara, Selatan dan Pantai Timur, selain mengintai peluang membawa festival ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC) bagi memberi pengalaman pemanduan di litar.
Nilai keseluruhan hadiah festival tahun ini mencecah kira-kira RM50,000 menerusi gabungan wang tunai dan barangan, manakala penganjur menyasarkan jumlah berkenaan meningkat kepada RM100,000 pada edisi tahun depan. – UTUSAN
The post Festival Perodua vs Proton 4.0 tarik lebih 50,000 pengunjung appeared first on Utusan Malaysia.





