
MELAKA – Orang ramai berpeluang menyaksikan keunikan warisan, seni dan tradisi enam negara menerusi Festival Pertukaran Budaya: Meraikan Warisan Silang Budaya 2026 yang berlangsung di Muzium Istana Kesultanan Melaka selama dua hari bermula hari ini hingga esok.
Festival yang berlangsung dari pukul 9 pagi hingga 10 malam itu menghimpunkan penyertaan Malaysia, Brunei Darussalam, China, Indonesia, Singapura dan Thailand bagi mengetengahkan kepelbagaian warisan budaya masyarakat serantau.
Pelbagai aktiviti menarik disediakan kepada pengunjung termasuk pameran pertukaran budaya, persembahan kebudayaan, perarakan warisan, pertandingan kebudayaan, demonstrasi seni dan kraf serta bazar makanan warisan dan kraf.
Menerusi pengisian tersebut, pengunjung berpeluang mengenali kepelbagaian budaya negara peserta dengan lebih dekat, selain menyaksikan keunikan tradisi yang terus diamalkan dan diwarisi masyarakat masing-masing.
Festival itu turut menjadi platform perkongsian pengetahuan dan pengalaman antara negara dalam usaha memelihara warisan budaya, khususnya warisan budaya tidak ketara yang mempunyai nilai sejarah serta kepentingan terhadap identiti sesebuah komuniti.
Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara merangkap Pesuruhjaya Warisan, Mohamad Muda Bahadin berkata, penyertaan negara yang mempunyai pencalonan bersama Malaysia bagi warisan budaya tidak ketara membuka ruang untuk perkongsian pengalaman dan pertukaran pandangan mengenai usaha melindungi warisan berkenaan.
“Melalui penyertaan ini, kita dapat berkongsi pengalaman dan bertukar pandangan mengenai usaha melindungi warisan budaya tidak ketara yang mempunyai kepentingan kepada negara masing-masing,” katanya.
Antara warisan yang menghubungkan negara peserta termasuk Wangkang yang melibatkan Malaysia dan China, selain pantun yang dikongsi Malaysia, Indonesia dan Brunei Darussalam.
Tradisi seperti tarian singa dan Chingay turut memperlihatkan kepelbagaian seni budaya yang terus dipelihara komuniti, selain menjadi sebahagian daripada identiti masyarakat di rantau ini.
Pemilihan Melaka sebagai lokasi penganjuran turut memberi nilai tersendiri memandangkan negeri bersejarah itu kaya dengan peninggalan sejarah serta kepelbagaian pengaruh budaya hasil hubungan masyarakat sejak sekian lama.
Selain pameran dan persembahan, festival itu turut merangkumi pembentangan kertas kerja serta bengkel berkaitan perlindungan warisan budaya tidak ketara.
Pengisian berkenaan memberi ruang kepada perkongsian ilmu dan perbincangan mengenai pendekatan bagi memastikan warisan budaya terus dipelihara untuk generasi akan datang.
Usaha mendekatkan warisan kepada golongan muda juga penting bagi memastikan tradisi bukan sekadar menjadi peninggalan masa lalu, sebaliknya terus difahami, dihargai dan diwarisi generasi baharu.
Orang ramai yang ingin meluangkan masa bersama keluarga sambil mengenali kepelbagaian budaya enam negara boleh mengunjungi Muzium Istana Kesultanan Melaka hari ini dan esok, dari pukul 9 pagi hingga 10 malam.
Festival itu diharap dapat meningkatkan penghargaan masyarakat terhadap warisan budaya serantau, di samping mengeratkan hubungan antara negara menerusi perkongsian tradisi, seni dan budaya. – KOSMO! ONLINE
The post Festival Silang Budaya himpun enam negara di Melaka appeared first on Kosmo Online.





