
PUTRAJAYA: Festival Turath Islami Selangor (FTIS) yang memasuki edisi keempat tahun ini telah diangkat ke peringkat nasional buat julung kalinya sebagai Festival Turath Islami Malaysia (FTIM) 2026.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, festival bermula 13 hingga 20 September itu dianjurkan menerusi kerjasama Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan melalui Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Beliau berkata, penganjuran festival ini adalah kesinambungan kepada tiga siri FTIS sebelum ini yang bertujuan memartabatkan khazanah turath Islami sebagai asas pembangunan insan dan pembentukan akhlak umat Islam.
“Sejak tahun 2023, festival itu telah mengangkat perbincangan dan penghayatan karya-karya ulama muktabar termasuk Ihya’ Ulumuddin karya Imam Al-Ghazali, Al-Arba’in al-Nawawiyah oleh Imam Al-Nawawi dan Tafsir al-Jalalain hasil Imam Jalaluddin Al-Suyuti.
“FTIM 2026 yang membawa tema ‘Hikmah Warisan Islam’ akan mengetengahkan karya Al-Hikam al-Ata’iyyah oleh tokoh besar tasawuf Islam, Ibnu Atha-illah As-Sakandari.
“Kitab ini menghimpunkan mutiara hikmah mengenai keikhlasan, tawakal dan hubungan seorang hamba dengan Tuhan serta menjadi antara karya tasawuf paling berpengaruh dalam tradisi keilmuan Islam di seluruh dunia termasuk Alam Melayu,” katanya pada sidang akhbar di sini hri hari ini.
Katanya, festival selama lapan hari itu akan menampilkan bekas Mufti Agung Mesir, Syeikh Dr. Ali Jum’ah, bersama 23 tokoh ulama tempatan dan antarabangsa menerusi lebih 42 sesi pengajian.
Amirudin berkata, antara tokoh yang bakal menyertai festival berkenaan ialah Prof. Dr. Sayyid Idris al-Fasi al-Fihri, Ustaz Dr. Adi Hidayat, Ustaz Wadi Annuar serta Mufti Negeri Selangor, Sahibus Samahah Dato’ Setia Dr. Haji Anhar Haji Opir.
“Antara pengisian utama yang disediakan sepanjang FTIM 2026 ialah Kuliah Subuh, Bacaan Dalail al-Khairat dan Talaqqi Kitab Al-Hikam selama lima hari selain program ilmiah seperti Tausiah Perdana, Majlis Qasidah dan Festival Buku Islami yang menjadi tarikan ramai khususnya golongan muda.
“Buat julung kalinya, Muzakarah Ulama Turath Kebangsaan akan dianjurkan bagi mempertemukan ilmuwan Islam dari seluruh negara dalam usaha memperkukuh kerjasama intelektual serta mencari penyelesaian terhadap pelbagai cabaran yang dihadapi umat Islam masa kini,” katanya. – UTUSAN
The post Festival Turath Islami diangkat ke peringkat nasional appeared first on Utusan Malaysia.





