
KANGAR – Sebarang bentuk kerjasama politik membabitkan Perikatan Nasional (PN) Perlis menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) perlu mendapat persetujuan kepemimpinan pusat.
Pengerusi PN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, kepemimpinan negeri akan akur dengan keputusan dibuat di peringkat pusat termasuk dalam menentukan bentuk kerjasama dengan parti lain.
“Memang kerjasama sekarang di peringkat negeri, tetapi perhubungan negeri belum mendapat kebenaran dan persetujuan dari pusat.
“Saya percaya perkara ini akan segera diperjuangkan di pusat. Kami negeri ini ikut pusat,” katanya ketika diminta mengulas pendirian Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Rozabil Abd. Rahman bahawa parti itu akan bergerak solo serta bertanding di semua 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tiga Parlimen pada PRU16.
Shahidan bagaimanapun tidak menutup kemungkinan kerjasama dengan mana-mana pihak sekiranya perkara itu dipersetujui dan mampu membantu mencapai kemenangan.
“Kalau ada kerjasama dengan pihak lain, kita kerjasama. Sedia berkawan dan sedia untuk berlawan jugalah. Kita sedia berkawan dan akan setia kepada perjuangan.
“Saya tak bersedia untuk lawan sebab perjuangan saya adalah elakkan kebencian. Kita kena terima hakikat, kemenangan negeri pun tak menjamin kemenangan untuk Persekutuan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Kerjasama politik Perlis, pusat buat keputusan – Shahidan appeared first on Kosmo Digital.






