
SHAH ALAM – Kem terjun negara mula melihat sinar dalam usaha mencari pewaris ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong apabila beberapa penerjun muda pada Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026 menunjukkan potensi untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
Pengarah teknikal terjun negara, Yeoh Ken Nee berkata, perkembangan sepanjang temasya kali ini memberikan petanda positif, namun mengakui masih terdapat jurang yang perlu dirapatkan sebelum kelompok pelapis mampu mencapai standard penerjun elit negara.
“Kalau ada pun, kita boleh nampak untuk masa depan ada satu atau dua penerjun yang mempunyai potensi. Tetapi jurang antara penerjun yang berada di tahap podium dengan pelapis memang besar.
“Banyak perkara berlaku dalam beberapa tahun kebelakangan ini termasuk ketika Covid-19, selain pertukaran penerjun dan latihan yang tidak konsisten. Sebab itu jurang tersebut menjadi semakin besar, sedangkan Pandelela masih berada pada tahap yang tinggi,” katanya.
Ken Nee berkata demikian selepas menyaksikan final platform 10 meter (m) wanita yang dimenangi wakil Sarawak, Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj menerusi 280.30 mata, diikuti penerjun Wilayah Persekutuan, Lee Yiat Qing dengan 273.50 mata dan Cecelia Olivia Christopher Leoneil dari Sarawak, 228.50 mata.
Mengulas standard dipamerkan pada final tersebut, Ken Nee menjelaskan aspek tahap kesukaran terjunan masih menjadi antara perbezaan ketara antara kelompok pelapis dengan Pandelela meskipun kualiti terjunan yang dipamerkan sudah menunjukkan perkembangan positif.
“Dari segi kualiti, terjunan yang dilakukan memang cantik, tetapi tahap kesukarannya masih kurang berbanding Pandelela. Itu yang memberikan perbezaan kerana walaupun Pandelela melakukan kesilapan dalam satu atau dua terjunan, tahap kesukarannya membolehkan dia mendapatkan mata lebih tinggi,” jelasnya.
Bagaimanapun, Ken Nee percaya kem terjun negara mempunyai calon yang boleh dibentuk untuk jangka panjang dan pemantauan akan diteruskan sepanjang Sukma sebelum barisan kejurulatihan membuat penilaian terhadap penerjun yang berpotensi diberikan laluan ke tahap seterusnya. KOSMO! ONLINE
The post Sukma 2026: Pelapis mula beri sinar kem terjun negara appeared first on Kosmo Digital.






