FGV lantik Nurul Muhaniza Hanafi sebagai wanita pertama isi jawatan Pengarah Urusan kumpulan

LocalBusiness & Finance
18 Aug 2026 • 3:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

FGV lantik Nurul Muhaniza Hanafi sebagai wanita pertama isi jawatan Pengarah Urusan kumpulan Image from: FGV lantik Nurul Muhaniza Hanafi sebagai wanita pertama isi jawatan Pengarah Urusan kumpulan amree18/08/2026 - 15:50 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 18 OgosFGV Holdings Berhad mencipta sejarah tersendiri apabila melantik Nurul Muhaniza Hanafi sebagai Pengarah Urusan Kumpulan (GMD) yang berkuat kuasa hari ini.

 

Pelantikan itu sekali gus menjadikannya wanita pertama menerajui kumpulan perniagaan berasaskan agribisnes tersebut dan hadir ketika FGV memasuki fasa penting transformasi syarikat berkenaan.

 

Antaranya dengan tumpuan kepada pengukuhan prestasi operasi, integrasi lebih rapat bersama FELDA serta penciptaan nilai secara mampan dalam ekosistem skim rancangan tanah Persekutuan tersebut.

 

"Nurul Muhaniza dilantik ke Lembaga Pengarah pada 1 April 2024 sebagai Pengarah Bebas Bukan Eksekutif sebelum mengisi Pengerusi Jawatankuasa Tadbir Urus dan Pengurusan Risiko," kata FGV.

 

Tambah kenyataan itu, sejak Mac 2026, Jawatankuasa Eksekutif Lembaga (BEC) yang dipengerusikan beliau turut mengambil alih fungsi dan tanggungjawab Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan.

 

Beliau turut menganggotai Jawatankuasa Pencalonan dan Imbuhan Lembaga serta Jawatankuasa Audit Lembaga, sekali gus mempunyai pengalaman luas dalam aspek tadbir urus dan pengawasan korporat.

 

Nurul Muhaniza memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), serta diterima sebagai Peguambela dan Peguamcara Mahkamah Tinggi Malaya.

 

Pengalaman kerjayanya meliputi bidang perundangan, institusi awam dan korporat termasuk Jawatankuasa Peguam Kuala Lumpur, Majlis Peguam Selangor serta Presiden Tribunal Pengurusan Strata di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) antara 2016 hingga 2018.

 

"Pada ketika ini, beliau merupakan Pengarah MSM Malaysia Holdings Berhad serta Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan dan Tender syarikat berkenaan," jelas FGV lagi. 

 

Beliau turut menjadi Pengerusi FGV IFFCO Sdn Bhd, serta Pengarah Cadbury Confectionery Malaysia Sdn Bhd dan Nilai Education Sdn Bhd.

 

Pengerusi FGV, Datuk Abu Huraira Abu Yazid berkata, Nurul Muhaniza menunjukkan kepimpinan yang konsisten, pertimbangan yang baik serta hala tuju strategik sejak mengambil tanggungjawab kepimpinan eksekutif melalui BEC pada Mac lalu.

 

Menurutnya, pelantikan itu merupakan pencapaian penting dalam sejarah FGV dan mencerminkan komitmen lembaga untuk mengiktiraf kepimpinan berdasarkan merit serta keupayaan, selain memperkukuh kepelbagaian dan keterangkuman.

 

Sementara itu, Nurul Muhaniza berkata, beliau komited menerajui FGV ke fasa transformasi seterusnya berteraskan integrasi lebih rapat dengan FELDA, peningkatan prestasi operasi serta penciptaan nilai mampan dalam ekosistem FELDA. 

 

"FGV akan terus memperkukuh perniagaan teras, meningkatkan kecemerlangan operasi dan memacu pertumbuhan mampan sepanjang rantaian nilai agribisnes bersepadunya demi kepentingan FELDA, pemegang taruh serta komuniti peneroka," katanya. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved