Media Chinese umum persaraan CEO Tiong Kiew Chiong selepas AGM ke-36

LocalBusiness & Finance
17 Aug 2026 • 9:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Media Chinese umum persaraan CEO Tiong Kiew Chiong selepas AGM ke-36 Image from: Media Chinese umum persaraan CEO Tiong Kiew Chiong selepas AGM ke-36 amree17/08/2026 - 09:00 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Ogos – Selepas lebih 28 tahun menerajui lembaga pengarah, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media Chinese International Limited (MCIL), Tiong Kiew Chiong, akhirnya mengundurkan diri.

 

MCIL dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia memaklumkan, beliau tidak menawarkan diri untuk dipilih semula pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-36 syarikat tersebut yang berkuat kuasa 14 Ogos 2026.

 

Kata kumpulan berkenaan, pengumuman mengenai persaraan secara mengejut Kiew Chiong, 66, sejurus selepas AGM syarikat penerbitan media berbahasa Cina tersebut berakhir pada tarikh itu.

 

"Beliau turut melepaskan jawatan sebagai Pengarah Eksekutif selepas memilih tidak bertanding semula bagi jawatan tersebut," menurut MCIL. Kiew Chiong mula menyertai lembaga pengarah pada 2 Mei 1998.

 

Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau turut memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Kumpulan serta Pengerusi Jawatankuasa Kelestarian.

 

Sepanjang kerjaya dalam industri penerbitan, Kiew Chiong memegang pelbagai jawatan kepimpinan dalam rangkaian kumpulan berkenaan, sekali gus menjadikannya antara tokoh penting operasi MCIL.

 

Media Chinese International_DagangNews

 

Tambah kumpulan berkenaan, dari segi latar belakang akademik, beliau merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kepujian) dari York University, Toronto, Kanada.

 

Susulan persaraannya tersebut, Kiew Chiong masih lagi mempunyai kepentingan secara langsung dengan jumlah sebanyak 5,228,039 saham biasa dalam MCIL.

 

MCIL turut mengesahkan bahawa tiada konflik kepentingan yang tercetus antara Kiew Chiong dengan syarikat tersenarai itu selepas beliau mengumumkan berundur daripada lembaga pengarah.

 

Menurut pemfailan syarikat, Kiew Chiong mempunyai hubungan kekeluargaan jauh dengan pemegang saham utama Datuk Seri Dr Tiong Ik King dan mendiang Tan Sri Datuk Sir Tiong Hiew King.

 

Beliau juga mempunyai hubungan kekeluargaan dengan dua pengarah syarikat, Tiong Choon dan Tiong Yijia, menurut kenyataan tersebut.

 

Persaraan Tiong menandakan berakhirnya tempoh panjang penglibatannya dalam kepimpinan MCIL selepas lebih dua dekad berkhidmat dengan kumpulan tersebut. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved