FGV nafi terima notis rasmi penswastaan daripada Felda

07/05/2025 - 12:00
Gambar/FGV Holdings Bhd Oleh Shamsiah Zulkafli
KUALA LUMPUR 7 Mei - FGV Holdings Bhd menafikan telah menerima sebarang notis rasmi daripada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) berhubung rancangan pengambilalihan atau penswastaan syarikat itu.
FGV menjelaskan, pihaknya tidak boleh mengambil sebarang tindakan berkaitan penswastaan selagi belum mendapat makluman rasmi daripada pemegang saham.
"Segala urusan penswastaan adalah tanggungjawab pemegang saham dan pihak pengurusan FGV tidak akan terlibat sehingga menerima notis rasmi," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.
Penjelasan tersebut dibuat susulan laporan The Edge yang mendakwa Felda sedang menimbang semula rancangan untuk menswastakan FGV.
Laporan berkenaan turut menyatakan, Felda telah melantik Maybank Investment Bank Bhd sebagai penasihat bagi urusan tersebut, yang dijangka dilaksanakan dalam tempoh tiga hingga empat bulan.
Felda juga dilaporkan telah mendapat sokongan awal daripada pemegang saham utama dan individu yang memiliki pegangan dalam FGV. - DagangNews.com
featured standard
