Fikri sahut cabaran dua larian dalam 48 jam

27 Sep 2026 • 11:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Fikri sahut cabaran dua larian dalam 48 jam

Bagi sesetengah orang, menyertai larian sejauh 13 kilometer (km) mungkin sudah cukup mencabar, apatah lagi jika laluan itu merentasi trek denai dengan keadaan muka bumi tidak menentu.

Namun, pengalaman itu menjadi lebih mencabar apabila Fikri Bazli memilih untuk menyahut cabaran larian jalan raya sejauh 30km dalam tempoh 48 jam.

Lebih menarik, kedua-dua cabaran itu berlangsung dalam suasana berbeza apabila Fikri terlebih dahulu menempuh trek denai menerusi

Malaysia Ultra-Trail by UTMB di Taiping, Perak, sebelum beralih ke laluan jalan raya di Putrajaya menerusi Boom Run sehari kemudian.

Menurutnya, penyertaan dalam larian denai buat kali pertama memberikan pengalaman yang cukup berbeza terutama apabila perlu menyesuaikan diri dengan keadaan trek dan peningkatan ketinggian sepanjang laluan.

“Pengalaman ini memang sangat menyeronokkan dan puas hati, bercampur gementar dan teruja. Ini kali pertama saya menyertai larian denai, walaupun hanya 13km dengan peningkatan ketinggian 392 meter.

“Bagi saya, larian denai ini satu permulaan untuk menguji kemampuan diri. Saya sasarkan untuk menyertai 25km dan kalau masih ada semangat, mungkin larian seterusnya saya mahu cuba 50km,” katanya kepada CitaRasa.

Bagi menghadapi cabaran tersebut, Fikri melakukan persediaan menerusi latihan larian setiap minggu bagi meningkatkan stamina, selain menyertai latihan peningkatan ketinggian bersama kelab larian, Pathfinder RC.

Pemuda berusia 30 tahun itu turut mendapatkan panduan daripada rakannya, Amin Hamidun iaitu pelari denai 100km dari Brunei, terutama berkaitan pemakanan dan persediaan sebelum perlumbaan.

Image from: Fikri sahut cabaran dua larian dalam 48 jam
Wajah lega selepas Fikri berjaya menamatkan larian denai.

“Sebelum menyertai kedua-dua larian ini, persediaan memang wajib dibuat. Saya mula berlatih untuk stamina dengan larian setiap minggu dan saya menyertai Pathfinder RC untuk latihan peningkatan ketinggian.

“Dari segi pemakanan dan aspek lain, saya belajar daripada kawan pelari denai 100km dari Brunei, Amin Hamidun. Banyak perkara yang saya belajar dan dijadikan panduan sebelum kedua-dua larian ini,” katanya.

Ketika menempuh larian denai di Taiping, Fikri bukan sahaja perlu berdepan bentuk muka bumi dan peningkatan ketinggian, malah keadaan di sekeliling turut menguji tumpuan apabila dia terserempak dengan haiwan berbisa seperti kala jengking di tengah trek.

Hujan renyai-renyai sepanjang laluan turut menimbulkan sedikit kebimbangan, namun itu tidak mematahkan semangatnya.

Larian kedua bermula seawal pukul 4.30 pagi, dengan Fikri berjalan dan berjoging perlahan bagi menguruskan tenaga.

Selepas hari mula cerah, dia bertemu rakannya, Zul dan Diana, sebelum meneruskan larian bersama sehingga kilometer ke-20.

Memasuki fasa seterusnya, cuaca yang semakin panas menyebabkan kedua-dua kakinya mula berasa lemau, namun dia terus memaksa diri untuk bergerak.

Ketika menghampiri kilometer ke-28, cabaran fizikal mula bertukar menjadi ujian mental apabila tubuhnya seakan-akan meminta untuk berhenti.

“Bila masuk kilometer ke-28, masa itu mental saya mula terganggu sebab badan memang rasa sudah tidak mampu untuk teruskan.

“Kalau ikutkan hati, memang saya mahu berhenti terus dan tidak kisah tentang garisan penamat itu,” katanya.

Fikri akhirnya berjaya menamatkan kedua-dua larian tersebut dan mengakui kepuasan yang dirasainya sukar digambarkan.

Menurutnya, dia berasa sangat puas dan gembira kerana berjaya melakukan lebih daripada apa yang dijangkakan.

“Badan rasa tidak mampu untuk teruskan, mental pun terganggu dan saya memang mahu berhenti, tetapi ada sesuatu dalam diri yang buat saya terus bergerak, walaupun terasa sangat berat.

“Namun sokongan isteri, Syamimi dan kawan-kawan yang sentiasa memberi semangat serta menunggu di garisan penamat membuatkan saya teruskan juga,” katanya.

The post Fikri sahut cabaran dua larian dalam 48 jam appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved