johardy12/08/2026 - 10:00 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 12 Ogos - MBSB Research berpandangan positif terhadap anugerah terbaharu di bawah program Tarif Galakan (FiT) 2.0 2026 yang dilihat membantu Malaysia mempelbagaikan sumber tenaga boleh diperbaharui (RE) ketika sektor itu masih didominasi tenaga solar.
Firma penyelidikan itu berkata, kemasukan lebih banyak projek biojisim, biogas dan hidro kecil dapat meningkatkan kepelbagaian sumber tenaga negara, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap gas dan arang batu.
“Kami positif terhadap anugerah FiT 2.0 2026 terbaharu,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
MBSB Research juga mengekalkan pandangan Positif terhadap subsektor RE, disokong dasar kerajaan yang memacu penyahkarbonan negara sejajar dengan sasaran di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Malaysia menyasarkan RE merangkumi 70% daripada campuran kapasiti tenaga menjelang 2050 berbanding 23% pada 2020.
Menurut MBSB Research, sasaran itu memerlukan pemasangan kapasiti RE tahunan meningkat lebih empat kali ganda kepada kira-kira 2.2 gigawatt (GW) setahun menjelang 2050.
Dua pertiga kapasiti daripada peningkatan projek sedia ada
MBSB Research turut menarik perhatian bahawa walaupun 331.4 megawatt (MW) kapasiti eksport bersih yang diberikan menerusi FiT 2.0 2026 merupakan peruntukan terbesar setakat ini, sebahagian besarnya bukan daripada projek baharu.
Daripada keseluruhan kapasiti itu, hanya 113.3MW melibatkan permohonan baharu manakala 218.1MW atau kira-kira dua pertiga merupakan permohonan untuk meningkatkan kapasiti.
Sebanyak 169.23MW atau 51% daripada kapasiti eksport bersih itu terdiri daripada hidro kecil, diikuti biojisim sebanyak 135.9MW atau 41% dan biogas sebanyak 26.19MW atau 8%.
Keseluruhannya, Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) meluluskan 42 daripada 48 permohonan dengan jumlah kapasiti terpasang sebanyak 387.4MW. Projek-projek berkenaan dijangka mencapai tarikh operasi komersial (COD) antara 2029 hingga 2030.
Peruntukan kali ini mengatasi 181.3MW kapasiti eksport bersih yang diluluskan menerusi FiT 2.0 pada 2025 serta 299.5MW kapasiti terpasang yang diluluskan di bawah FiT 2020.
Malakoff, Cypark dan West River antara penerima manfaat
Antara syarikat tersenarai yang dikaitkan dengan penerima kuota ialah Malakoff Corp Bhd menerusi anak syarikat tidak langsung milik 70%, RP Hydro (Kelantan) Sdn Bhd.
RP Hydro memperoleh peningkatan kapasiti bagi tiga projek hidro kecil, menjadikan jumlah kapasiti eksport bersih ketiga-tiga projek itu sebanyak 89.79MW.
Cypark Resources Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, Cypark Smart Technology Sdn Bhd pula memperoleh peningkatan kapasiti eksport bersih kepada 29.99MW bagi loji sisa kepada tenaga (WTE) di Port Dickson.
MBSB Research menyifatkan kelulusan itu sebagai pencapaian penting ke arah pelaksanaan fasa kedua loji WTE berkenaan.
Sementara itu, anak syarikat milik penuh West River Bhd, Neutron Power Sdn Bhd memperoleh dua kuota hidro kecil baharu dengan jumlah kapasiti eksport bersih sebanyak 11.75MW.
Syarikat tersenarai lain yang dikaitkan dengan pembida berjaya termasuk Citaglobal Bhd, Johor Plantations Group Bhd, Kawan Renergy Bhd, BM GreenTech Bhd, Kinergy Advancement Bhd dan G Capital Bhd.
Solar kekal dominan, BESS semakin penting
MBSB Research menjangkakan solar akan terus mendominasi pembangunan RE Malaysia walaupun kerajaan memperluaskan penggunaan sumber tenaga lain menerusi FiT.
Firma itu melihat pembangunan solar kini semakin beralih kepada projek hibrid yang menggabungkan penjanaan solar dengan sistem penyimpanan tenaga.
Sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) dijangka menjadi komponen semakin penting dalam projek RE berskala utiliti bagi menangani turun naik penjanaan tenaga, meningkatkan keupayaan penghantaran serta menyokong kestabilan grid apabila penggunaan RE bertambah.
Berdasarkan prospek sektor itu, MBSB Research mengekalkan saranan **BELI** terhadap Pekat Group Bhd dengan harga sasaran RM2.03 dan Samaiden Group Bhd pada RM1.88. - DagangNews.com



