johardy06/08/2026 - 09:05 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Ogos – Institusi kewangan di ASEAN digesa menghentikan pembiayaan bagi pengembangan projek arang batu serta memperkukuh perlindungan sosial sebagai prasyarat untuk memastikan peralihan tenaga yang adil dan sejajar dengan sasaran iklim global.
Gesaan itu dibuat oleh Fair Finance Asia (FFA) dan Influencing Just Energy Transition in the ASEAN (I-JET) menerusi laporan "Phasing out Coal, Phasing in Justice: Roadmap for Financing a Responsible Regional Coal Phase-out in Asia", yang menilai kemajuan peralihan tenaga di Kemboja, Indonesia, Republik Demokratik Rakyat Laos, Filipina dan Thailand, selain meneliti landskap ASEAN secara keseluruhan.
Fair Finance Asia (FFA) adalah rangkaian yang menghimpunkan lebih 90 pertubuhan masyarakat sivil di seluruh Asia. Rangkaian itu berusaha memastikan bank dan institusi kewangan melindungi hak sosial serta alam sekitar dalam aktiviti pembiayaan dan pelaburan mereka.
Influencing Just Energy Transition in the ASEAN (I-JET) pula adalah program yang diterajui oleh Oxfam yang bekerjasama dengan FFA untuk mempercepat peralihan kepada tenaga bersih serta menggalakkan pelaksanaan dasar peralihan tenaga yang adil di Asia Tenggara.
Menurut laporan itu, walaupun beberapa negara ASEAN telah memperkenalkan moratorium terhadap projek arang batu baharu, mengemas kini Nationally Determined Contributions (NDC), merangka pelan penutupan awal loji janakuasa arang batu, memperkenalkan taksonomi hijau serta mekanisme penetapan harga karbon, langkah-langkah berkenaan masih belum mencukupi untuk memastikan laluan pemanasan global dihadkan kepada 1.5 darjah Celsius seperti yang ditetapkan di bawah Perjanjian Paris.
Laporan itu turut mendapati sekatan pembiayaan arang batu di peringkat antarabangsa masih mempunyai jurang apabila pembiayaan terus disalurkan melalui pinjaman korporat dan aktiviti perlombongan huluan.
Pada masa sama, penggunaan gas asli cecair (LNG) sebagai bahan api peralihan dilihat berdepan pelbagai cabaran termasuk kos yang tinggi, ketidaktentuan harga, risiko aset terkandas serta kebergantungan berterusan terhadap bahan api fosil.
FFA dan I-JET berpandangan usaha mempercepat peralihan tenaga memerlukan komitmen lebih tegas daripada institusi kewangan, kerajaan dan pelabur bagi memastikan sasaran iklim dapat dicapai tanpa mengabaikan aspek keadilan sosial.
Laksana pelan penghentian arang batu
Bagi memastikan penghentian penggunaan arang batu secara berperingkat dapat dilaksanakan secara bertanggungjawab, FFA dan I-JET mengesyorkan supaya tiada lagi pembangunan projek arang batu baharu, termasuk bagi memenuhi permintaan tenaga daripada pembangunan kecerdasan buatan (AI) dan infrastruktur digital.
Laporan itu juga menggesa pelaksanaan pelan penghentian penggunaan arang batu yang mempunyai garis masa jelas dan boleh dikuatkuasakan, selain memastikan semua loji sama ada ditutup secara kekal atau ditukar kepada fungsi lain dengan kerja-kerja pemulihan tapak dilaksanakan.
Selain itu, institusi kewangan disaran menghentikan semua bentuk pembiayaan berkaitan arang batu, termasuk pembiayaan terhadap penyelesaian yang disifatkan sebagai "penyelesaian palsu", di samping mengikat komitmen terhadap prinsip peralihan tenaga yang adil.
Dalam aspek sosial, laporan berkenaan mengesyorkan penyediaan sokongan pendapatan, program peningkatan dan latihan semula kemahiran serta peluang pekerjaan hijau kepada pekerja yang terjejas akibat penutupan industri arang batu.
Ia turut menggesa penyertaan bermakna komuniti melalui prinsip Free, Prior and Informed Consent (FPIC), perlindungan hak tanah masyarakat Orang Asli, dasar yang responsif terhadap gender serta perlindungan terhadap ruang sivik dan pembela hak asasi manusia serta alam sekitar.
ASEAN perlu percepat peralihan tenaga
Bernadette Victorio, Ketua Program Fair Finance Asia, berkata kejayaan peralihan tenaga tidak seharusnya diukur hanya berdasarkan penutupan loji janakuasa arang batu.
Sebaliknya kata beliau, kejayaan sebenar bergantung kepada keupayaan peralihan tersebut mengurangkan ketidaksamaan dengan melindungi hak serta memperkukuh suara pekerja, komuniti, wanita dan masyarakat Orang Asli.
Sementara itu, Pengurus Program Energy Justice and ASEAN Influencing, Oxfam in Asia, Shubert Ciencia berkata Pelan Tindakan bagi Kerjasama Tenaga ASEAN (APAEC) 2026-2030 menunjukkan komitmen rantau itu untuk mempercepat penyahkarbonan sambil mengekalkan keterjaminan tenaga.
Beliau berkata negara anggota ASEAN kini perlu mengehadkan pelaburan dalam projek arang batu sedia ada serta melarang pembangunan projek baharu bagi mempercepatkan peralihan kepada sumber tenaga yang lebih bersih.
Pengarah Eksekutif The PRAKARSA, Victoria Fanggidae pula berkata komitmen terhadap agenda iklim tidak akan memberi makna sekiranya aliran pembiayaan terus menyokong pengembangan arang batu.
Beliau menggesa institusi kewangan menghentikan pembiayaan kepada projek arang batu, mengalihkan modal kepada tenaga boleh baharu serta mengintegrasikan prinsip hak asasi manusia dan peralihan yang adil dalam setiap keputusan pembiayaan.
Di Filipina, Pengurus Program Economic Rights, Initiatives for Dialogue and Empowerment through Alternative Legal Services (IDEALS), Genalyn Arcayera-Aquino berkata pemberian insentif kepada bahan api fosil tanpa pelan penghentian yang jelas hanya akan mengekalkan kebergantungan terhadap import tenaga, meningkatkan kos elektrik dan memperlahankan pembangunan industri tenaga boleh baharu domestik.
Peraturan lebih tegas diperlukan
Sementara itu, Pengarah Program Japan Center for a Sustainable Environment and Society (JACSES), Yuki Tanabe berkata kerajaan perlu mempercepat penutupan awal loji janakuasa arang batu menerusi penguatkuasaan peraturan alam sekitar yang lebih ketat serta cukai yang lebih tinggi ke atas penjanaan tenaga berasaskan arang batu.
Menurut beliau, langkah sedemikian penting bagi mempercepat peralihan kepada sistem tenaga yang lebih mampan, di samping mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil di rantau Asia. - DagangNews.com






