Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun meluahkan rasa kesal apabila dakwaan kononnya Datuk Seri Mohamad Hasan atau Tok Mat diusir dari kediaman rasmi Menteri Besar selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) terus dimainkan sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Fitnah beri gambaran buruk padanya
Memetik laporan daripada Malaysia Gazette, beliau menyatakan dakwaan itu bukan sahaja memberi gambaran buruk terhadap dirinya, malah turut menjejaskan emosi ahli keluarganya, terutama anak-anak.
“Ini adalah antara fitnah yang terus dimainkan untuk mencari simpati, walaupun nampak kecil tetapi kesannya sangat besar kepada keluarga saya.
“Sanggup mereka berkempen hingga merosakkan emosi anak-anak saya. Nak kempen, kempenlah, tapi jangan rosakkan emosi anak-anak saya,” katanya.

Fitnah rekaan dan tak menggambarkan situasi sebenar
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa berkempen bertemu penduduk di sekitar Kampung Balak, Linggi, hari ini.
Dalam pada itu, Aminuddin yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi menegaskan dakwaan berhubung Tok Mat dihalau dari kediaman rasmi Menteri Besar hanyalah rekaan dan tidak menggambarkan situasi sebenar.

Gesa semua pihak berkempen dengan harmoni
Katanya, kediaman rasmi Menteri Besar mempunyai prosedur keselamatan yang ketat dan penyandang terdahulu masih menikmati keistimewaan sebagai Menteri Besar sehingga pengganti mengangkat sumpah jawatan.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak agar mengelakkan penyebaran fitnah dan mengekalkan kempen yang lebih harmoni sepanjang baki tempoh PRN Negeri Sembilan.
“Sebab itu saya selalu ingatkan, kita berkempenlah secara harmoni, elakkan fitnah dan jangan sentuh isu-isu sensitif seperti agama, kaum, raja dan sebagainya.
“Biarlah kempen sepanjang PRN Negeri Sembilan ini berbeza dengan kempen-kempen di negeri lain, sebab kita mahu berbakti kepada rakyat Negeri Sembilan, bukannya dimomokkan dengan perpecahan dan fitnah sesama kita,”katanya.
Semalam, anak Aminuddin, Nur Amalina turut tampil menerusi platform Threads menafikan dakwaan bapanya mengusir Tok Mat dari kediaman rasmi selepas pertukaran kerajaan pada 2018.
Beliau menegaskan tiada mana-mana pihak yang telah diusir dan meminta fitnah tersebut dihentikan.
Jelasnya, ibu bapanya masih tinggal di kediaman mereka sekitar sebulan selepas mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan.
Mereka juga pada awalnya tidak bercadang untuk pindah ke kediaman rasmi namun memikirkan beberapa hal akhirnya mereka mengikut aturan yang telah disediakan.
Sumber: Malaysia Gazette (Mohd Khuzairi Ismail)





