
KUALA LUMPUR - Presiden Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (Puspahanas), Laksamana Madya Datuk Sabri Zali menafikan dakwaan rasuah dan salah laku yang dilemparkan ke atasnya dan menyifatkan ia sebagai mengelirukan serta berunsur fitnah serius.
Menurut penasihat undang-undangnya, Muhammad Firdaus Jumaludin, tuduhan berkenaan bukan sahaja tidak berasas malah berpotensi mencemarkan reputasi dan kredibiliti institusi pertahanan yang menjadi tunjung keselamatan negara.
Sambil menyifatkan tuduhan itu boleh membawa kepada keadilan yang tidak serius, Firdaus menyeru semua pihak untuk memberi ruang kepada proses undang-undang yang akan ambil.
“Datuk Sabri Zali tidak pernah disabitkan dengan sebarang kesalahan dan tidak pernah didapati bersalah atas kes rasuah, penyalahgunaan kuasa atau salah laku oleh mana-mana pihak berkuasa yang berwibawa,” katanya pada sidang media di Puspahanas di Putrajaya, hari ini.

Mengenai dakwaan ada pihak yang mendakwa memiliki dokumen sulit berkaitan dakwaan tersebut, Firdaus berkata:
“Terdapat pihak tertentu yang mendakwa memiliki kononnya ‘dokumen’, termasuk dokumen yang didakwa sebagai sulit atau berasal daripada agensi penguatkuasaan.
"Dokumen ini diperolehi secara tidak sah, dipetik di luar konteks dan dokumen ini terbuka untuk diubahsuai sertan dimanuspulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab. Ia tidak wajar dijadikan sebagai bukti.
“Datuk Sabri Zali tidak mengiktiraf kesahihan, ketulenan, mahupun sumber dokumen-dokumen tersebut,” tegasnya lagi.
Pada 31 Disember lalu, aktivis dan Ketua Bersatu Port Dickson, Badrul Hisham Shahrin atau lebih dikenali sebagai Chegubard telah memuatnaik dakwaan rasuah ke atas Sabri di laman Facebooknya.
Beliau menggesa tindakan diambil ke atas Laksamana Madya itu. Chegubard turut memuatnaik beberapa dokumen yang mengaitkan nama Sabdi, yang didakwa berkaitan siasatan pihak berkuasa dan turut mengheret nama Puspahanas, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Firdaus memberitahu, segala isu berkaitan hanya akan dijawab secara rasmi dan mengikut lunas undang-undang.
“Datuk Sabri Zali tidak bertanggungjawab serta tidak akan memberi respons terhadap tuduhan tanpa identiti, spekulasi atau naratif sensasi,’’ katanya. - 2 Januari, 2026
The post Fitnah, mengelirukan: Laksamana Madya Sabri Zali nafi tuduhan rasuah dan salah laku appeared first on Scoop.
