Pegawai Kanan TLDM Nafi Tuduhan, Sifatkan Dakwaan Mengelirukan, Fitnah

LocalPolitics
2 Jan 2026 • 6:07 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Dakwaan dan tuduhan dilemparkan terhadap Timbalan Laksamana Datuk Sabri Zali disifatkan sebagai palsu, mengelirukan dan fitnah yang amat serius.

Menafikan sekerasnya semua tuduhan itu, peguam Sabri, Muhammad Firdaus Jumaluddin  menegaskan, ia amat tidak berasas dan bukan sahaja menjejaskan reputasi Sabri, malah turut mengaitkan Pusat Pengajian Pertahanan Nasional (PUSPAHANAS), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) secara keseluruhan.

“Sehingga kini, Datuk Sabri tidak pernah didapati bersalah atas sebarang salah laku, dan tidak pernah disabitkan dengan kes rasuah, penyalahgunaan kuasa atau apa-apa bentuk salah laku oleh mana-mana pihak berkuasa yang berkompeten,” katanya dalam sidang media di PUSPAHANAS, hari ini.

Menurut Muhammad Firdaus, dakwaan mengenai kewujudan kononnya “dokumen” tertentu, termasuk yang didakwa berstatus sulit atau diperoleh daripada agensi penguatkuasaan, tidak diiktiraf oleh Datuk Sabri dari segi kesahihan, validiti mahupun sumber asalnya.

“Sebarang dokumen yang diperoleh secara tidak sah, dipetik di luar konteks, dipilih secara terpilih atau terdedah kepada manipulasi tidak boleh dianggap sebagai bukti salah laku atau menyokong mana-mana dakwaan,” tegasnya.

Beliau berkata, anak guamnya akan menggunakan semua hak perundangan, termasuk mempertimbangkan tindakan sivil terhadap mana-mana individu atau pihak yang menerbitkan atau menyebarkan kenyataan berunsur fitnah.

Sabri bagaimanapun jelas Muhammad Firdaus, menegaskan keyakinannya terhadap kedaulatan undang-undang serta integriti institusi pertahanan negara, dan menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa melalui saluran yang betul sekiranya diperlukan.

“Semua persoalan berkaitan perkara ini akan dijawab secara formal, rasmi dan mengikut undang-undang. Datuk Sabri tidak akan memberi reaksi terhadap tuduhan tanpa nama, spekulasi atau naratif sensasi,” katanya.

Beliau memberi amaran, penyebaran dakwaan yang tidak disahkan boleh menjejaskan reputasi individu, menghakis keyakinan awam dan membawa kepada ketidakadilan yang serius.

Sehubungan itu, semua pihak digesa memberi ruang kepada proses undang-undang untuk berjalan dan menghentikan penyebaran tuduhan yang tidak berasas atau berniat jahat. - Getaran, 2 Januari 2026