
PUTRAJAYA – Seramai 325 warga asing ditahan Jabatan Imigresen (JIM) dalam operasi penguatkuasaan di sebuah kawasan pangsapuri di sekitar Putrajaya, awal pagi tadi.
Operasi susulan aduan dan maklumat awam itu melibatkan 127 pegawai dari Ibu Pejabat JIM Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
JIM dalam kenyataan berkata, dalam operasi berkenaan, seramai 740 individu diperiksa dengan 325 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
“Mereka yang ditahan terdiri daripada 270 lelaki dan 55 wanita, berusia antara 18 hingga 56 tahun, membabitkan warganegara Indonesia, Bangladesh, Pakistan, India, Nepal dan Thailand.
“Antara kesalahan dikenal pasti termasuk tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah, tinggal lebih masa serta melanggar syarat pas,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, kesemua mereka yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Lenggeng bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan Akta Imigresen 1959/63 serta peraturan berkaitan.
JIM turut menegaskan akan memperkukuh operasi penguatkuasaan di seluruh negara bagi membanteras keberadaan pendatang asing tanpa izin (PATI), salah guna pas serta penyalahgunaan kemudahan imigresen.
Sebelum ini, Kosmo! mendedahkan kewujudan komuniti warga asing yang mendiami di Pangsapuri Putra Harmoni, Presint 9, di sini, atau lebih dikenali sebagai ‘Flat Hijau’.
Situasi itu menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk di kawasan berkenaan apabila kelibat warga asing semakin kerap dilihat yang menjadikan ia sebagai lokasi berkumpul sehingga lewat malam. – KOSMO! ONLINE
The post Flat Hijau Putrajaya digempur, 325 warga asing ditahan appeared first on Kosmo Online.






