
Menjelang saingan Pusingan 2 GR86 Cup Malaysia Series, FNF Motorsport tampil dengan pendekatan lebih berfokus menerusi gandingan pemilik pasukan merangkap pemandu, Ali Imran, bersama jurulatih berpengalaman, Faidzal Alang.
Pusingan kali ini turut menyaksikan saingan GR86 Cup Malaysia Series berlangsung bersama Eighty-Six Series Thailand, sekali gus memberikan peluang kepada FNF Motorsport untuk mengukur tahap prestasi mereka berdepan pelumba dari luar negara.
Fasa pra-perlumbaan yang merangkumi sesi Latihan Bebas (Free Practice) hingga Kelayakan (Qualifying) dimanfaatkan sepenuhnya untuk membina keyakinan Ali, mengumpul mileage serta memahami karakter jentera dan litar dengan lebih baik.
Persiapan Teknikal Bermula Sebelum FP1
Sebagai pemandu yang bermula tanpa sebarang latar belakang dalam sukan permotoran, Ali menjalani persediaan rapi beberapa hari sebelum perlumbaan dengan bimbingan khas daripada Faidzal.
Antara aspek yang diberi penekanan ialah latihan kawalan kenderaan (car control) dan asas drifting, bagi memberikan Ali ‘feeling‘ kawalan jentera yang lebih peka serta meningkatkan keyakinannya ketika berada di atas litar.
Memasuki Free Practice 1 (FP1), strategi pasukan memberi keutamaan sepenuhnya kepada Ali untuk mengumpul sebanyak mungkin mileage di atas litar tanpa sebarang pemanduan daripada Faidzal Alang.
Pendekatan ini membolehkan Ali Imran membiasakan diri dengan keadaan litar, memahami karakter jentera dan membina rentak pemanduan secara berperingkat.
Pada Free Practice 2 (FP2) pula, Faidzal Alang hanya turun melengkapkan dua pusingan di penghujung sesi.
Walaupun hanya dua pusingan, pengalaman tersebut memberikan Faidzal Alang peluang untuk menilai perbezaan rentak jentera serta tahap prestasi pasukan berbanding pelumba antarabangsa, khususnya peserta Eighty-Six Series Thailand yang turut beraksi pada hujung minggu perlumbaan yang sama.
Dari 2:55 Ke 2:52 Ketika Kelayakan
Pendedahan beraksi di litar yang sama bersama pelumba luar negara ternyata memberikan dorongan positif kepada Ali Imran.
Dalam sesi Kelayakan (Qualifying), Ali membuktikan perkembangan yang konsisten apabila berjaya menterjemahkan hasil latihan dan pembelajaran kepada catatan masa yang lebih pantas.
Daripada catatan sekitar 2 minit 55 saat, Ali berjaya memperbaikinya kepada 2 minit 52 saat.
Peningkatan tiga saat tersebut menjadi petunjuk penting terhadap perkembangan Ali Imran dari segi keyakinan, kawalan jentera serta pemahaman terhadap litar.
Bagi FNF Motorsports, peningkatan itu juga menunjukkan pendekatan yang diterapkan sepanjang fasa persediaan mula memberikan hasil, terutama bagi Ali yang masih dalam proses membina pengalaman kompetitif di atas litar.
Ali Imran Buka Cabaran Race 1
Berdasarkan prestasi yang ditunjukkan sepanjang sesi latihan dan kelayakan, FNF Motorsports menetapkan Ali Imran sebagai pemandu pertama (first driver) untuk memulakan cabaran pada Race 1 yang berlangsung sebelah petang.
Faidzal Alang pula akan mengambil alih tugas bagi Race 2 pada keesokan harinya.
Pembahagian tugas tersebut turut memberi peluang kepada kedua-dua pemandu untuk memainkan peranan masing-masing berdasarkan pengalaman dan kekuatan mereka.
Dengan momentum positif daripada sesi pra-perlumbaan, FNF Motorsports kini bersedia membawa peningkatan tersebut ke perlumbaan sebenar, sambil terus mengumpul pengalaman dan memburu keputusan yang lebih padu pada Pusingan 2.
Lebih menarik, saingan bersama Eighty-Six Series Thailand menjadikan Pusingan 2 ini sebagai medan penting buat FNF Motorsports untuk mengukur kemampuan mereka dalam kelompok persaingan yang lebih luas.
The post FNF Motorsports Bawa Momentum Positif Ke Pusingan 2, Ali Imran Tunjuk Lonjakan Prestasi appeared first on TW Media.





