
Tiga pelumba muda Malaysia bakal menggalas cabaran negara pada Pusingan Kedua Idemitsu Moto4 Asia Cup 2026 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 31 Julai hingga 2 Ogos ini dengan misi memburu keputusan lebih cemerlang di laman sendiri.
Saingan yang berlangsung serentak dengan Pusingan Ketiga Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) itu dijangka menjadi medan penting buat pelumba-pelumba muda terbaik rantau Asia untuk mengumpul mata berharga kejuaraan selepas hampir enam bulan berehat sejak aksi pembukaan di Buriram, Thailand.
Malaysia mempertaruhkan Qabil Irfan Azlan, Naqib Rifqi dan Qayyim Razin, yang masing-masing hadir dengan pengalaman berbeza hasil penyertaan dalam beberapa kejuaraan sepanjang musim bagi memastikan mereka berada pada tahap terbaik menjelang perlumbaan di Sepang.
Qabil muncul sebagai sandaran utama negara selepas menghadiahkan podium pertama Malaysia musim ini apabila menamatkan Perlumbaan 2 di Buriram di tempat kedua. Keputusan itu membolehkan pelumba kelahiran Terengganu itu mengumpul 30 mata dan kini menghuni kedudukan ketiga keseluruhan kejuaraan.
Selain bersaing dalam Moto4 Asia Cup, Qabil turut mengumpul pengalaman di pentas antarabangsa menerusi penyertaannya dalam Moto4 European Cup, yang dijangka memberi kelebihan dari segi pengalaman perlumbaan menjelang aksi di Sepang.
Naqib pula terus memperkukuhkan kemampuannya dengan beraksi dalam TVS Asia One Make Championship di bawah Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), selain turut bersaing dalam Kejuaraan Cub Prix Malaysia dan MSBK bagi mengekalkan rentak perlumbaan sepanjang musim.
Sementara itu, Qayyim meneruskan pembangunan bakatnya menerusi Kejuaraan MotoMini Malaysia 190cc, yang menjadi platform penting dalam membentuk pelumba muda sebelum melangkah ke saingan yang lebih tinggi.
Pendedahan dalam pelbagai kejuaraan sepanjang musim membolehkan ketiga-tiga pelumba mengekalkan kecergasan fizikal, meningkatkan kemahiran teknikal serta menambah pengalaman perlumbaan menjelang aksi di laman sendiri.
Selepas pusingan pembukaan di Buriram, Qabil berada di tangga ketiga keseluruhan dengan 30 mata, manakala Naqib menghuni kedudukan ke-14 dan Qayyim di tangga ke-22. Ketiga-tiga pelumba kini berazam memanfaatkan kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri untuk memperbaiki kedudukan keseluruhan kejuaraan.
Pengurus pasukan, Zulfahmi Khairuddin, percaya pengalaman yang diperoleh Qabil, Naqib dan Qayyim sepanjang musim ini mampu membantu mereka memberikan saingan lebih sengit kepada pencabar dari seluruh Asia di Sepang.
Qabil berkata, peluang beraksi di hadapan penyokong sendiri memberikan motivasi tambahan untuk memburu satu lagi keputusan positif.
“Saya sangat teruja dapat berlumba di Sepang di hadapan penyokong sendiri. Selepas mengutip mata penting di Buriram, sasaran saya adalah untuk terus mengumpul mata berharga dan memberikan aksi terbaik sepanjang perlumbaan.
Saya mahu bersaing dalam kelompok hadapan dan akan menggunakan pengalaman yang saya peroleh di Eropah untuk memberikan saingan sengit kepada pelumba-pelumba lain di Sepang.”
Qayyim pula berharap dapat menggunakan pengalaman yang dikumpul sepanjang musim untuk terus meningkatkan prestasinya.
“Saya gembira dapat kembali beraksi dalam Moto4 Asia Cup di Sepang. Saya mahu memanfaatkan pengalaman yang diperoleh sepanjang musim ini untuk memberikan saingan terbaik dan terus meningkatkan prestasi.
Saya berharap dapat memperbaiki kedudukan keseluruhan kejuaraan serta menghadiahkan keputusan yang membanggakan buat Malaysia.”
Naqib pula menyifatkan aksi di Sepang sebagai peluang terbaik untuk memanfaatkan kelebihan beraksi di litar yang sudah dikenalinya.
“Perasaan saya untuk minggu ini sememangnya sangat bersemangat dan teruja kerana dapat berlumba di laman sendiri. Sepanjang tempoh rehat Moto4 Asia Cup, saya membuat persiapan dengan meningkatkan tahap stamina serta memperkukuhkan kecergasan fizikal.
Selain itu, saya turut menyertai perlumbaan MSBK 600 bagi lebih mengenali karakter Litar Antarabangsa Sepang supaya dapat memberikan aksi terbaik pada minggu ini. Sasaran saya adalah untuk berada dalam kelompok hadapan, bersaing bersama pelumba-pelumba terbaik dan memberikan keputusan terbaik.”
Dengan kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri, ketiga-tiga pelumba muda negara kini mengintai peluang untuk menghadiahkan keputusan membanggakan buat Malaysia dalam Pusingan Kedua Idemitsu Moto4 Asia Cup 2026 di Sepang hujung minggu ini.
The post Tiga Pelumba Muda Malaysia Sedia Harungi Cabaran Moto4 Asia Cup di Sepang appeared first on TW Media.






