
PETALING JAYA: Kenaikan gaji golongan rakyat pertengahan perlu diberi perhatian dalam Belanjawan 2027 bagi memastikan mereka tidak terus terhimpit apabila kos sara hidup meningkat, terutama selepas pelaksanaan gaji minimum RM1,700.
Tumpuan tidak harus diberikan kepada pekerja bergaji rendah menerusi gaji minimum, sebaliknya, syarikat berkemampuan perlu meningkatkan gaji pekerja golongan pertengahan bagi memastikan pendapatan tidak statik dan jurang pendapatan melebar.
Ini dikongsi Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz yang berkata, keadaan menjadi lebih sukar apabila pekerja menerima gaji sekitar RM2,000 tidak menikmati peningkatan pendapatan walaupun kadar gaji minimum telah dinaikkan kepada RM1,700.
“Saya ada bangkitkan mengenai isu gaji ini, di mana syarikat yang berkemampuan kena naikkan bukan gaji minimum yang bawah sahaja, tetapi juga mereka yang di golongan pertengahan.
“Peningkatan gaji golongan pertengahan penting bagi memastikan pendapatan pekerja berkembang seiring tekanan kos sara hidup semasa,” katanya ketika diwawancara menerusi Podcast PodX Utusan Malaysia, di sini semalam.
Sebelum ini, Bank Dunia mendedahkan meskipun gaji minimum di Malaysia telah menunjukkan peningkatan sebanyak 43 peratus dalam tempoh antara 2010 hingga 2024, namun gaji bagi golongan pertengahan yang berpendapatan sederhana kekal statik berbanding kelompok lain.
Berdasarkan laporan itu, gaji median meningkat daripada RM1,300 kepada RM1,864 antara tahun 2010 hingga 2024, manakala gaji purata naik daripada RM1,792 kepada RM2,570 tetapi masih jauh lebih rendah berbanding pertumbuhan 82 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam tempoh sama.
Keadaan itu bersamaan dengan pertumbuhan gaji tahunan purata sekitar tiga peratus sepanjang 14 tahun tersebut.
Bulan lalu, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berharap pelaksanaan struktur skala gaji minimum diperluas kepada kumpulan pekerja berpendapatan pertengahan bagi memastikan kenaikan pendapatan selaras dengan kemahiran, pendidikan dan pengalaman kerja.
Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor berkata, langkah itu penting bagi mengatasi isu ketidakpadanan kemahiran serta membolehkan syarikat bakat berkualiti, sekali gus menyokong pertumbuhan produktiviti dan gaji.
Tambahnya, berdasarkan Akta Perundingan Gaji Negara, ia mewajibkan kajian kadar gaji minimum dibuat sekali setiap dua tahun, maka berbaki lima bulan lagi pengumuman kadar baharu perlu dilakukan.
“Berdasarkan kenaikan kadar gaji minimum yang dibuat pada Februari 2025 maka sepatutnya kadar baharu akan bermula pada Februari 2027 dan kelewatan memberikan kadar baharu gaji minimum memungkinkan pekerja berada dalam keadaan lebih tertekan dengan kos barangan semakin meningkat,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, terdapat ruang untuk meningkatkan gaji pekerja berdasarkan pecahan kos pampasan pekerja (COE) di Malaysia berbanding negara lain.
Katanya, berdasarkan laporan Bank Dunia, COE di Malaysia disifatkan agak rendah berbanding negara-negara maju lain iaitu pada kadar 35 peratus sahaja.
“Ada setengah negara di luar, macam (ketika) saya Ketua Pegawai Eksekutif CIMB di Filipina dan Indonesia, kerajaan (sana) mewajibkan (pembayaran) gaji 13 bulan (setahun). Secara automatiknya memang ada ekstra (lebih).
“Jadi pekerja di semua peringkat, rendah, menengah, sehingga tertinggi, semua dapat 13 bulan gaji. Jadi ia memaksa syarikat meningkatkan pendapatan pekerja,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, peningkatan gaji perlu dilaksanakan seimbang dengan mengambil kira kemampuan syarikat, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta perusahaan mikro.
Kenaikan gaji juga perlu selari dengan produktiviti dan keuntungan syarikat supaya tidak memberi tekanan berlebihan kepada sektor perniagaan.
Beliau berkata, Belanjawan 2027 perlu mengambil kira keadaan ekonomi semasa yang berdepan ketidaktentuan termasuk konflik geopolitik dan perubahan harga minyak.
Kerajaan perlu menggunakan pendekatan di luar kotak bagi memastikan setiap langkah diumumkan memberi impak kepada rakyat, khususnya dalam menangani tekanan kos sara hidup.
“Kita dalam krisis ini kena fikir di luar kotak kerana apa-apa yang kita buat itu kena memberikan impak kepada rakyat,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, kerajaan turut perlu mencari formula yang seimbang bagi memenuhi keperluan rakyat dan sektor perniagaan, termasuk isu kos sara hidup serta cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan Perdana Menteri, dan Kementerian Kewangan pada 9 Oktober ini diharap dapat menyediakan langkah yang memberi manfaat kepada rakyat dan ekonomi negara. – UTUSAN
The post Fokus gaji golongan rakyat pertengahan appeared first on Utusan Malaysia.






