Gaji rakyat perlu diberi keutamaan dalam Belanjawan 2027

LocalBusiness & Finance
24 Sep 2026 • 6:48 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Gaji rakyat perlu diberi keutamaan dalam Belanjawan 2027

GEORGE TOWN: Peningkatan pendapatan dan gaji perlu menjadi antara keutamaan dalam Belanjawan 2027 bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara bukan sahaja dipacu daripada sudut angka malah turut dirasai rakyat.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, perkara itu antara yang diharapkan dapat diberi perhatian dalam Belanjawan 2027 susulan pertumbuhan ekonomi negara yang dilihat memberangsangkan walaupun keadaan geopolitik masih tidak menentu.

“Sudah sampai masanya perbincangan ataupun diskusi berkaitan pendapatan ataupun gaji rakyat terus diletakkan sebagai keutamaan.

“Di sini, memang menjadi harapan agar dalam belanjawan ini kita ada keupayaan untuk menyatakan komitmen daripada segi bagaimana kedudukan gaji untuk rakyat Malaysia ini kita dapat semak ataupun perbaiki lagi kedudukannya,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri program KL20@Penang 2026: Silicon Surge di sini, hari ini. Hadir sama Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Menurut Akmal, usaha meningkatkan pendapatan rakyat perlu dilaksanakan seiring dengan keupayaan syarikat tempatan untuk berkembang dan meningkatkan kedudukan dalam rantaian bekalan serta ekosistem industri.

Katanya, dalam hal ini, Kementerian Ekonomi turut memberi tumpuan kepada usaha menambah baik struktur ekonomi negara termasuk menerusi pembangunan industri berpertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV).

“Kita mahu terus pelopori HGHV ataupun High-Growth, High-Value Industry ini kerana peranan syarikat-syarikat Malaysia ini bukan sekadar di peringkat pembuatan semata-mata, tetapi, kita melihat kepada keupayaan untuk terus berada dari segi kedudukan yang lebih baik dari segi nilaian dalam rantaian bekalan ataupun ekosistem yang ada,” katanya.

Mengulas mengenai bentuk perlindungan kepada rakyat menerusi Belanjawan 2027 susulan ketidaktentuan harga minyak pula, Akmal berkata, kerajaan komited untuk menstabil serta mengurangkan impak kenaikan harga minyak menerusi bantuan bersasar.

Beliau berkata, dalam hal ini, pelaksanaan BUDI95 serta pengumuman berkaitan diesel dapat menyediakan penampan kepada rakyat walaupun bantuan berkenaan mempunyai jumlah atau had tertentu. – UTUSAN

The post Gaji rakyat perlu diberi keutamaan dalam Belanjawan 2027 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved