SC kawal selia dana dan pelaburan Tabung Haji

LocalBusiness & Finance
12 Aug 2026 • 7:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: SC kawal selia dana dan pelaburan Tabung Haji

KUALA LUMPUR: Pengurusan dana dan pelaburan Lembaga Tabung Haji (TH) bakal dile­tak­kan di bawah kawal selia Su­ruhanjaya Sekuriti (SC) bagi memastikan tadbir urus dan pe­ngu­rusan pelaburan institusi itu lebih telus. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, cada­ngan itu adalah antara syor pa­sukan kerja yang ditubuhkan bagi meneliti dan melaksanakan dapatan Suruhanjaya Laporan Diraja (RCI) berhubung TH termasuk pindaan Akta Tabung Haji 1995.

Katanya, pasukan kerja itu juga mencadangkan pengurusan haji kekal di bawah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan TH sebagai satu entiti yang utuh. 

“Pasukan itu sebelum ini te­lah meneliti kesesuaian ke­rangka pengawasan dan pemantauan oleh SC terhadap pengurusan dana dan pelaburan di TH.

“Saya dimaklumkan pasukan ini bersetuju mengesyorkan supaya aspek pengurusan dana dan pelaburan TH dikawalselia oleh SC, sementara aspek pe­ngurusan haji akan dikawal selia oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan TH kekal sebagai satu entiti yang utuh.

“Butiran lanjut syor itu akan diberi kepada saya untuk pertimbangan lanjut bagi dibentangkan kepada Kabinet untuk kelulusan seterusnya,” katanya dalam Sesi Penerangan Menteri pada Sidang Khas Dewan Rakyat Laporan RCI TH semalam. 

Pasukan khas yang diketuai Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain dan dianggotai oleh Gabenor Bank Negara, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour serta Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi itu telah ditubuhkan bagi meneliti dapatan RCI.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, kerajaan berisiko menanggung liabiliti kira-kira RM74.5 bilion pada 2018 sekiranya berlaku pengeluaran panik secara besar-besaran atau bank run membabitkan pendeposit TH.

Katanya, risiko itu wujud susulan kedudukan kewangan TH ketika itu yang disifatkan secara teknikalnya tidak berdaya maju dan perlu diselamatkan.

Beliau berkata, pengeluaran panik benar-benar berlaku apabila TH merekodkan pengeluaran bersih berjumlah RM6 bilion dalam tempoh singkat susulan pengumuman hibah pada kadar 1.25 peratus yang diisytiharkan bagi tahun kewangan 2018.

Zulkifli berkata, keadaan kewangan TH ketika itu akhirnya memaksa kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil langkah menyelamatkan institusi berkenaan melalui pelan penstrukturan semula.

Katanya, kerajaan justeru itu terpaksa menyelamatkan TH menerusi bailout melebihi RM10 bilion selepas institusi itu berdepan krisis kewangan akibat penyelewengan yang berlaku.

Tambahnya, krisis TH tidak berlaku dalam sekelip mata, sebaliknya ia kesan terkumpul daripada kerakusan, kelemahan tadbir urus, campur tangan kepentingan tertentu, keputusan pelaburan berisiko dan kegagalan menggambarkan kedudukan kewangan yang telus.

Beliau menegaskan, tiada aset TH yang dijual kepada bukan Islam mahupun kaum Cina seperti yang fitnah oleh beberapa pihak tidak bertanggungjawab dalam usaha menanam kebencian.

Sebaliknya kata beliau, aset berkenaan adalah hak milik Urusharta Jamaah Sdn. Bhd. iaitu syarikat milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan.

“TH berdepan situasi genting apabila jurang defisit antara aset dan liabiliti TH melebar kepada lebih RM10 bilion pada suku keempat 2018, dengan hanya tiga bulan untuk mencari penyelesaian.

“Ketika itu TH tidak berdaya saing dan perlu diselamatkan. Keadaan tersebut akhirnya memaksa kerajaan menyelamatkan TH dengan pelan penstrukturan semula bagi memulihkan kedudukan kewangannya supaya kembali berdaya saing serta kekal mampan untuk jangka panjang,” katanya.

Sementara itu, Zulkifli berkata, TH telah melaksanakan syor RCI agar ahli politik aktif dilarang dilantik sebagai pengerusi atau anggota lembaga pengarah selain memastikan pelantikan kepimpinan dibuat berdasarkan integriti, kebolehan dan pengalaman.

Beliau berkata, kerangka itu telah berjaya membuktikan setelah kedudukan TH kini berada dalam keadaan baik dari aspek pengurusan haji, pelaburan dan kewangan.-UTUSAN

 

The post SC kawal selia dana dan pelaburan Tabung Haji appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved