UMNO, BN perlu jawab persoalan kelemahan tadbir urus TH – Aminuddin

LocalPolitics
11 Aug 2026 • 5:21 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu memberikan penjelasan berhubung kelemahan tadbir urus yang berlaku dalam Lembaga Tabung Haji (TH), khususnya apabila institusi itu mempunyai kedudukan penting dalam pengurusan simpanan umat Islam serta urusan ibadah haji.

Image from: UMNO, BN perlu jawab persoalan kelemahan tadbir urus TH – Aminuddin

Memetik laporan Utusan Malaysia, Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) berkata, pengalaman lebih enam dekad mentadbir negara seharusnya datang bersama tahap tanggungjawab yang lebih tinggi, terutama apabila timbul persoalan berkaitan pengurusan sesebuah institusi awam.

Menurutnya, tempoh yang panjang dalam pemerintahan tidak sepatutnya menjadi alasan untuk mengelak daripada menjawab persoalan mengenai kelemahan yang berlaku.

“Dengan pengalaman mentadbir negara selama lebih enam dekad, mengapa sebuah institusi yang begitu penting kepada umat Islam masih boleh berdepan kelemahan tadbir urus yang begitu serius?
“Sebelum penglibatan politik menjadi begitu ketara, TH secara umumnya dilihat sebagai institusi profesional yang menumpukan simpanan pendeposit dan pengurusan ibadah haji. Bukannya gelanggang pertikaian kepartian,” kata Aminuddin, hari ini.

Dalam pada itu, isu berkenaan tidak seharusnya dilihat semata-mata dari sudut persaingan atau perbezaan politik kerana laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan TH turut menyentuh persoalan lebih besar mengenai tadbir urus dan pertanggungjawaban.

Antara perkara yang dibangkitkan, katanya, ialah kelemahan dalam amalan perakaunan yang menyebabkan kedudukan kewangan TH pada 2017 dilaporkan berada pada tahap lebih baik berbanding keadaan sebenar.

Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan soal pelantikan ahli politik aktif UMNO, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim, sebagai Ahli Lembaga TH pada 2011 sebelum dilantik sebagai Pengerusi TH pada Julai 2013.

Menurut Aminuddin, RCI turut memberikan perhatian terhadap pelantikan ahli politik ke dalam lembaga serta jawatan pengerusi TH bagi tempoh antara 2014 hingga 2018.

“RCI mengambil perhatian bahawa pelantikan ahli politik ke dalam lembaga dan jawatan pengerusi antara 2014 hingga 2018 menimbulkan kegelisahan masyarakat serta membuka ruang keputusan TH dijadikan bahan kritikan politik.
“Pelantikan Azeez boleh dilihat sebagai titik perubahan yang mengaburkan sempadan antara pengurusan profesional institusi dengan kepentingan kepartian,” jelasnya.

Bagaimanapun, Aminuddin menjelaskan bahawa kenyataannya tidak bermaksud meletakkan tanggungjawab kepada keseluruhan anggota UMNO atau menganggap semua keputusan yang dibuat sebelum ini sebagai tidak tepat.

Sebaliknya, beliau menegaskan pengalaman panjang dalam pemerintahan tidak seharusnya digunakan sebagai alasan untuk mengelakkan pihak berkaitan daripada dipersoalkan mengenai kelemahan yang berlaku.

Artikel lain: “Janganlah main naratif ini lagi. Bapa saya tu tak jahat!” -Anak Aminuddin Harun

Katanya, TH merupakan institusi yang berkaitan dengan kepentingan umat Islam dan bukan hak milik mana-mana parti politik, manakala wang yang disimpan oleh pendeposit perlu diurus dengan penuh amanah.

“TH bukan milik mana-mana parti dan wang pendeposit tidak boleh dijadikan modal politik.
“Ibadah haji juga tidak wajar dijadikan perisai untuk mengelakkan akauntabiliti sekiranya berlaku kelemahan tadbir urus,” tambahnya lagi.

Sumber: Utusan (Arif Aiman Asrol dan Amirul Aiman Osman)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved