“FOMO sampai ketepikan batas agama” – MTPN Tegur Trend ‘S-Line’, Buka Aib & Jejas Maruah

Entertainment
21 Jul 2025 • 4:33 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Sekarang ini, sedang berlegar satu trend yang dikenali sebagai ‘Trend S- Line’. Trend ini memaparkan video atau foto seseorang yang disunting dengan garisan merah di atas kepala.

Bagi yang tidak tahu, trend ini diinspirasikan daripada sebuah drama Korea yang mengisahkan tentang seorang gadis yang mempunyai kelebihan melihat garisan merah di atas kepala setiap individu.

Garisan merah itu menggambarkan jumlah hubungan badan yang pernah dilakukan oleh seseorang sepanjang hayatnya.

image is not available

Trend buka aib

Trend yang menjadi ikutan ramai terutama dalam kalangan pengguna muda termasuk remaja Muslim dilihat membimbangkan kerana ia disifatkan membuka ruang kepada pendedahan aib secara terbuka.

Malah, menurut Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN), trend ini dianggap bertentangan dengan nilai agama serta norma masyarakat Timur.

“Ada yang mengaitkan dengan perbuatan zina jika yang melakukan itu belum berkahwin. Meskipun ia kelihatan hanya simbolik, namun realitinya menjurus kepada pendedahan maruah dan mendorong membuka aib secara terbuka.

“Lebih membimbangkan, trend ini disertai semata-mata kerana pengaruh sosial dan perasaan takut ketinggalan (FOMO) sehingga mengetepikan batas agama serta adab dalam berpakaian dan perilaku,” kata Naib Presiden Kebangsaan MTPN, Datuk Mohd Faiz Zulkifli.

image is not available

Justeru, beliau menyeru masyarakat Muslim supaya lebih berprinsip serta tidak terikut-ikut dengan trend tersebut malah Islam sendiri menegah perbuatan membuka aib diri sendiri secara sengaja apatah lagi untuk tontonan umum.

“Sebagai pengguna, kita perlu bijak menilai kandungan yang sesuai dikongsi. Maruah bukan untuk dijadikan bahan tontonan atas nama hiburan atau simbolisme kosong,” jelasnya.

Dalam pada itu, MTPN juga menggesa ibu bapa memainkan peranan dalam mendidik anak-anak agar lebih berwaspada terhadap pengaruh trend luar yang bercanggah dengan prinsip Islam dan budaya tempatan.

Sumber: Sinar Harian

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.