
KUALA LUMPUR: Pendekatan kerjasama atau formula digunakan antara parti politik bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka perlu mengambil kira landskap politik negeri itu dan tidak boleh disamakan dengan negeri lain.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, setiap negeri mempunyai dinamik politik tersendiri dan pendekatan yang digunakan di sesebuah negeri tidak semestinya sesuai untuk diterapkan di negeri lain.
“Satu negeri ke satu negeri, dinamiknya (politik) berbeza. Tak boleh guna formula sama.
“Di Melaka, Barisan Nasional (BN) yang menguasai dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) memerintah, di Negeri Sembilan sebelum ini ialah kerajaan campuran antara bn dan Pakatan Harapan (PH). Tidak boleh guna formula sama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Program Terus Berbakti P119 di Perumahan Awam (PA) Sri Perlis, hari ini.
Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata, rundingan antara BN dan Perikatan Nasional (PN) berkaitan pembahagian kerusi bagi menghadapi PRN Melaka akan datang merupakan perbincangan di peringkat Presiden.
Beliau berkata, dirinya tidak terlibat dalam rundingan mengenai kerjasama antara BN serta PN bagi menghadapi PRN Melaka dan tidak mengetahui perkembangan perbincangan yang sedang berlangsung.
“Sebenarnya rundingan ini saya tak terlibat. Ia rundingan di peringkat Presiden dengan Presiden.
“Tok Mat (Datuk Seri Mohamad Hasan) pun cakap masih belum ada rundingan rasmi dengan PN. Kita serahkan kepada pimpinan untuk menentukan bagaimana rundingan berkenaan akan dilaksanakan,” katanya.
Tambah beliau, sebarang bentuk susunan atau kerjasama antara parti politik juga perlu memastikan kestabilan politik negara tidak tergugat.
Katanya, kestabilan politik penting kerana ia menjadi asas kepada pembangunan ekonomi dan keyakinan pelabur.
“Apabila kestabilan politik wujud, pelabur lebih yakin untuk membawa modal ke negara ini bagi membangunkan ekonomi.
“Sebarang kerjasama politik juga perlu mengambil kira kepentingan mengekalkan kestabilan supaya dasar berkaitan ekonomi tidak menimbulkan kebimbangan kepada pelabur,” katanya.
Semalam, Utusan Malaysia melaporkan, PN dan BN masih dalam proses rundingan untuk memuktamadkan bentuk kerjasama bagi menghadapi PRN Melaka.
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan berkata, kedua-dua pihak sudah mengadakan rundingan dan akan disusuli beberapa siri pertemuan untuk mencari formula kerjasama yang dapat dipersetujui bersama. – UTUSAN
The post Formula kerjasama politik setiap negeri berbeza appeared first on Utusan Malaysia.






