Kerjasama parti politik perlu utamakan kestabilan negara

LocalPolitics
8 Aug 2026 • 1:09 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kerjasama parti politik perlu utamakan kestabilan negara

KUALA LUMPUR: Sebarang bentuk susunan atau kerjasama antara parti politik perlu memastikan kestabilan politik negara tidak terjejas kerana ia merupakan asas penting untuk pembangunan ekonomi sesebuah negara.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pengalaman dari negara luar menunjukkan bahawa politik yang tidak mempunyai kestabilan menyebabkan ekonomi sesebuah negara sukar untuk dibangunkan.

Katanya, pembangunan ekonomi bukan sahaja bergantung kepada usaha dalam negara malah memerlukan pelabur luar bagi mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Apa sahaja susunan ataupun kerjasama politik di antara parti-parti ini, yang paling pentingnya adalah kita mesti pastikan bahawa kita tidak boleh menggugat kestabilan politik yang ada dalam negara kita.

“Sebab bila ada kestabilan politik itu maka di situlah bermulanya bagaimana kita boleh membangunkan ekonomi,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Program Terus Berbakti di Perumahan Awam (PA) Sri Perlis, hari ini.

Johari yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkata, pertukaran pemimpin yang terlalu kerap juga boleh menimbulkan persoalan kepada pelabur kerana perubahan kerajaan lazimnya turut menyebabkan perubahan dasar.

“Sebab itu kalau kita tengok apabila negara ini berlaku pertukaran pemimpin terlalu kerap, satu penggal sampai tiga, empat orang tukar. Jadi mana pelabur hendak ikut?

“Saya bagi contoh dulu, kita sudah elok-elok ada GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan), tukar jadi Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

“Memanglah dua-dua pun cukai, tetapi masalahnya penyesuaian yang mahu dibuat oleh golongan yang menjalankan aktiviti ekonomi ini akan terjejas,” katanya. – UTUSAN

The post Kerjasama parti politik perlu utamakan kestabilan negara appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved