FPSO Kraken beroperasi pada kadar sewa harian lebih rendah, Kenanga ramal Bumi Armada berdepan tekanan pendapatan

08/09/2025 - 16:58
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 8 Sept - Bumi Armada Berhad diunjur terus berdepan tekanan pendapatan apabila kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapungnya (FPSO) Kraken mula beroperasi di bawah piagam pilihan dengan kadar sewaan harian lebih rendah bermula suku kedua tahun kewangan 2025 (2QFY25).
Kenanga Research berkata, piagam pilihan itu menawarkan pembaharuan secara tahunan yang ditetapkan pada kadar sewaan harian yang jauh lebih rendah berbanding kontrak terdahulu.
Katanya, perubahan itu berkemungkinan besar memberi kesan ketara terhadap pendapatan kumpulan dalam tempoh terdekat.
Keputusan kewangan separuh pertama tahun kewangan 2025 (1HFY25) Bumi Armada sudah menunjukkan kesan kadar baharu itu, dengan hasil merosot 27% tahun ke tahun manakala keuntungan teras susut 37% kepada RM278.9 juta.
Penyusutan itu dipengaruhi pendapatan sewaan lebih rendah daripada FPSO Kraken, sementara kos operasi kekal hampir sama.
"Bermula 2QFY25, profil pendapatan Bumi Armada akan dipengaruhi terma baharu piagam FPSO Kraken. Walaupun impaknya negatif dalam jangka pendek, sebahagian besar tekanan tersebut dapat dilihat dalam keputusan suku tahun sebelumnya," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, walaupun berdepan cabaran, kumpulan dijangka mendapat manfaat daripada kedudukan hutang bersih yang semakin baik kerana kumpulan itu tidak membuat perbelanjaan modal besar sejak lima tahun lalu berikutan tiada kontrak FPSO baharu.
Katanya, buku pesanan kukuh bernilai RM9.1 bilion serta aliran tunai yang stabil turut menyokong daya tahan kumpulan.
Kenanga Research berkata, melangkah ke hadapan, potensi lonjakan penilaian boleh berlaku sekiranya projek Akia atau Kojo mencapai keputusan pelaburan akhir (FID).
Katanya, kedudukan kewangan yang semakin kukuh juga membolehkan Bumi Armada menilai peluang FPSO bersaiz sederhana secara sendirian, selepas rundingan penggabungan dengan MISC Berhad tidak diteruskan.
"Kami menaikkan penarafan kepada "outperform" daripada "market perform" pada harga sasaran lebih rendah iaitu 45 sen berbanding 52 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com
standard
