Pendapatan Wasco diramal menyusut jika kontrak baharu gagal lepasi paras RM600 juta bagi setiap suku tahun - Kenanga

04/09/2025 - 11:03
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 4 Sept - Pendapatan Wasco Berhad diramal menyusut pada suku-suku tahun akan datang sekiranya perolehan kontrak baharu gagal melepasi paras RM600 juta bagi setiap suku tahun, kata Kenanga Research.
Setakat suku kedua tahun kewangan 2025 (2QFY25), kadar tempahan tertunggak kumpulan berjumlah RM2.2 bilion, susut daripada RM2.4 bilion pada 1QFY25.
Ia menunjukkan perolehan kontrak sekitar RM581 juta dalam suku tersebut, di bawah tahap yang diperlukan untuk mengekalkan momentum projek.
Firma penyelidikan itu berkata, kelemahan pengisian semula kontrak baharu sebahagian besarnya berpunca daripada kelembapan perbelanjaan modal (capex) sektor huluan global, dengan keputusan pelaburan akhir (FID) oleh pelanggan ditangguhkan.
"Keadaan ini memberi kesan kepada permintaan terhadap perkhidmatan minyak dan gas Wasco, khususnya dalam bahagian salutan paip.
"Memandangkan prospek sektor huluan global yang semakin lemah, kami menjangkakan kadar perolehan kerja kumpulan akan lebih perlahan pada FY25 dan FY26 berbanding FY23 dan FY24,” katanya dalam satu nota kajian.
Walaupun berdepan cabaran jangka pendek, Kenanga Research yakin Wasco masih mengekalkan kedudukan kukuh dalam pasaran salutan paip global dan sedang mengembangkan portfolio ke dalam segmen bio tenaga, yang berpotensi membuka peluang pertumbuhan baharu.
Bagaimanapun, firma penyelidikan itu berkata, sekiranya kadar perolehan kontrak tidak melebihi paras RM600 juta setiap suku tahun, kadar tempahan Wasco berisiko terus menyusut, sekali gus menjejaskan keterlihatan pendapatan masa hadapan.
Kenanga Research menyemak turun penarafan kepada "market perform" berbanding "outperform" dengan harga sasaran lebih rendah iaitu 95 sen berbanding RM1.08 sesaham.- DagangNews.com
standard
