Thong Guan berdepan tekanan akibat peningkatan kos buruh sekitar RM1 juta sebulan - Kenanga

02/09/2025 - 16:38
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
KUALA LUMPUR 2 Sept - Thong Guan Industries Berhad berdepan tekanan kos dalam segmen pembungkusan susulan pelaksanaan gaji minimum lebih tinggi yang menyebabkan peningkatan perbelanjaan buruh sekitar RM1 juta sebulan, kata Kenanga Research.
Katanya, kenaikan gaji minimum itu semakin menekan margin operasi pembungkusan kumpulan yang sebelum ini sudah terkesan akibat permintaan global yang lemah serta penyusutan hasil daripada kadar pertukaran asing yang tidak memihak berikutan pengukuhan ringgit.
Firma penyelidikan itu berkata, bagi separuh pertama tahun kewangan 2025 (1HFY25), keuntungan bersih Thong Guan susut 9% kepada RM39.9 juta, meskipun jumlah jualan kekal stabil. Hasil pula merosot 5% disebabkan purata harga jualan (ASP) lebih rendah dan kesan tukaran mata wang asing.
“Kenaikan kos buruh memberi impak besar kepada margin segmen pembungkusan, sekali gus mengehadkan pertumbuhan keuntungan meskipun permintaan kekal stabil,” katanya dalam satu nota kajian.
Kenanga Research berkata, segmen pembungkusan merupakan penyumbang utama hasil syarikat, kini berdepan cabaran berganda – selain kos pekerja yang meningkat, syarikat juga harus menyesuaikan diri dengan daya saing lebih sengit di pasaran serantau Asia serta potensi peningkatan tarif eksport, khususnya ke Amerika Syarikat (AS).

Katanya, buat masa ini, eksport ke pasaran AS merangkumi kira-kira 10% daripada jumlah hasil kumpulan, manakala pasaran Eropah menyumbang sekitar 14%, namun permintaan dari rantau tersebut juga dijangka kekal lembap berikutan kelembapan ekonomi Eropah.
"Bagi mengurangkan kesan negatif daripada segmen pembungkusan, Thong Guan bergantung kepada pertumbuhan segmen makanan & minuman (F&B) yang mencatat peningkatan mendadak dalam 1HFY25.
"Segmen itu kini menyumbang lebih 30% kepada keuntungan syarikat berbanding hanya 10% pada tempoh sama tahun lalu, disokong oleh harga jualan lebih tinggi serta keberkesanan strategi pemasaran.
"Kumpulan juga masih mampu mengekalkan harga kopi dan teh walaupun berlaku sedikit penurunan harga bahan mentah, sekali gus meningkatkan margin keuntungan," katanya.
Bagi jangka masa sederhana, firma penyelidikan itu menjangkakan normalisasi keuntungan F&B akan berlaku pada separuh kedua tahun 2025 apabila stok bahan mentah lama yang dibeli pada harga rendah habis digunakan.
Justeru, katanya, cabaran utama syarikat kekal tertumpu pada pengurusan kos segmen pembungkusan dan strategi penembusan pasaran baharu untuk menampung tekanan margin.
Selain itu, Thong Guan turut meneroka perniagaan pembangunan hartanah yang dijangka mula memberikan sumbangan hanya pada FY26.
Langkah itu dilihat sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang syarikat untuk mempelbagaikan aliran pendapatan dan mengurangkan kebergantungan kepada segmen pembungkusan yang semakin kompetitif.
Kenanga Research mengekalkansaranan "outperform" dengan harga sasaran (TP) RM1.44 sesaham.- DagangNews.com
standard


