Kenaikan harga baja sehingga 15% pada FY26 beri tekanan tambahan kepada margin Hap Seng Plantations, kata Kenanga

LocalBusiness & Finance
2 Sep 2025 • 12:43 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kenaikan harga baja sehingga 15% pada FY26 beri tekanan tambahan kepada margin Hap Seng Plantations, kata Kenanga

image is not available

02/09/2025 - 12:43

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Sept - Kenaikan harga baja antara 10% hingga 15% pada tahun kewangan 2026 (FY26) dijangka memberi tekanan tambahan kepada margin Hap Seng Plantations Resources Berhad, menurut Kenanga Research.

Katanya, kenaikan itu adalah jauh lebih tinggi berbanding unjuran awal sekitar 5%.

Firma penyelidikan itu, margin kumpulan itu akan terus berdepan tekanan kerana harga minyak sawit mentah (MSM) kekal berada pada paras sederhana.

"Kos baja Hap Seng Plantations dijangka naik sebanyak 12% bagi mencerminkan realiti pasaran input yang semakin meningkat.

"Kos pengeluaran MSM pada FY25 akan berada pada purata antara RM2,200 hingga RM2,300 bagi setiap tan, lebih rendah berbanding separuh pertama tahun ini berikutan hasil tuaian buah tandan segar (BTS) yang lebih tinggi pada separuh kedua.

“Walaupun syarikat dijangka mendapat manfaat daripada pengeluaran BTS lebih kukuh pada 2H25, kenaikan kos baja pada FY26 akan menjadi faktor utama yang menekan margin keuntungan,” katanya dalam satu nota kajian.

Terdahulu, untung bersih kumpulan itu pada suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2QFY25) susut kepada RM19.67 juta berbanding RM27.67 juta pada tahun sebelumnya disebabkan jumlah jualan MSM dan isirung sawit (PK) yang lebih rendah.

Pada masa sama, hasil kumpulan juga menurun kepada RM156.1 juta pada 2QFY25 berbanding RM182.8 juta bagi suku sama tahun sebelumnya.

Kenanga Research mengekalkan unjuran dividen kumpulan dengan dasar pembayaran antara 60% hingga 70% daripada harga sesaham, memanfaatkan aliran kukuh daripada operasi huluan sawit.

Bagaimanapun, ketidakpastian global, termasuk isu keberlanjutan minyak sawit, keadaan cuaca, kekurangan tenaga kerja, dan turun naik harga komoditi, terus menjadi risiko utama bagi sektor itu.

Walaupun terdapat cabaran kos, firma penyelidikan itu mengekalkan saranan “outperform” terhadap Hap Seng Plantations dengan harga sasaran (TP) RM2.40 sesaham.- DagangNews.com

standard