Kedudukan fiskal kukuh, Selangor raih penarafan kredit AAA daripada MARC

LocalBusiness & Finance
31 Jul 2025 • 12:43 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kedudukan fiskal kukuh, Selangor raih penarafan kredit AAA daripada MARC

image is not available

31/07/2025 - 12:43

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 31 Julai – MARC Ratings Bhd telah memberikan penarafan kredit sub-sovereign tertinggi, AAA dengan unjuran stabil kepada negeri Selangor, sekali gus mengiktiraf kekukuhan ekonomi, rizab kewangan dan pengurusan fiskal negeri tersebut.

Agensi penarafan itu berkata, unjuran stabil mencerminkan jangkaan bahawa Selangor akan terus mengekalkan kedudukannya sebagai pemacu utama ekonomi Malaysia, disokong oleh kepelbagaian ekonomi, dasar fiskal berhemah serta prestasi sosioekonomi yang teguh.

"Keupayaan Selangor untuk mengekalkan beban hutang yang minimum serta paras rizab yang kukuh dijangka terus menyumbang kepada kekuatan kredit dalam jangka sederhana," katanya dalam satu kenyataan.

Berdasarkan laporan MARC Ratings, Selangor menyumbang sebanyak RM406.1 bilion atau 25.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada tahun 2023, sekali gus menjadi penyumbang tertinggi dalam kalangan semua negeri.

Pertumbuhan ini dipacu terutamanya oleh sektor perkhidmatan yang merangkumi hampir dua pertiga daripada keseluruhan KDNK negeri.

Dari sudut kedudukan fiskal, MARC Ratings menyifatkan Selangor berada dalam keadaan sangat kukuh dengan tahap hutang hanya RM19.1 juta pada 2023 iaitu yang terendah di antara semua negeri.

Antara 2019 hingga 2023, Selangor turut mengekalkan purata tertinggi dalam Dana Terkumpul.

"Prestasi fiskal yang cemerlang ini mencerminkan amalan pengurusan kewangan yang sangat berdisiplin dan berhemat," katanya.

Agensi itu berkata, Selangor telah menikmati kestabilan politik yang berterusan sejak 2008 di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH), sekali gus menyumbang kepada kekuatan fiskal dan daya tahan ekonominya.

“Pentadbiran yang stabil ini membolehkan pelaksanaan dasar kewangan yang berhemah serta inisiatif sosioekonomi yang menyeluruh.

“Namun, keputusan Pilihan Raya Negeri 2023 menunjukkan perubahan dalam landskap politik apabila jumlah kerusi yang dimenangi oleh PH merosot kepada 34 berbanding 51 kerusi pada 2018.

“Perkembangan ini menunjukkan suasana politik yang semakin kompetitif, yang berpotensi membawa kepada perubahan dalam arah dasar dan keutamaan tadbir urus pada masa depan,” katanya.

Namun, Selangor berjaya mengukuhkan prestasi sosio ekonominya dengan kadar kemiskinan terendah di negara ini pada hanya 1.5 peratus.

“Ia satu petunjuk kepada ketahanan ekonomi dan keberkesanan inisiatif sosial yang dilaksanakan,” katanya. - DagangNews.com

standard