Fujifilm X Half Dilancarkan – Kamera Digital Kompak Dengan Sentuhan Klasik

TechnologyDigital
22 May 2025 • 2:28 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Fujifilm memperkenalkan X Half iaitu sebuah kamera digital kompak yang diinspirasikan daripada kamera filem separuh bingkai. Kamera ini menggabungkan reka bentuk klasik dengan teknologi moden untuk memberikan pengalaman fotografi yang lebih menarik. Dengan berat hanya 240 gram, ia mudah dibawa ke mana-mana dan sesuai untuk kegunaan harian.

image is not available

Reka bentuk kamera ini mengekalkan elemen klasik daripada siri Fujifilm X termasuk Aperture Ring dan Frame Advance Lever yang memberikan pengalaman fotografi seperti kamera analog. Fungsi 2-dalam-1 membolehkan pengguna menggabungkan gambar dan video dengan hanya memusingkan Frame Advance Lever. Aplikasi telefon pintar X half pula menyediakan ciri suntingan mudah termasuk pilihan untuk mengubah saiz dan warna garisan pemisah antara imej.

image is not available

Kamera X half dilengkapi dengan 13 simulasi filem yang membolehkan pengguna mendapatkan kesan visual seperti filem analog Fujifilm. Ia juga mempunyai tiga penuras baharu yang diinspirasikan daripada fotografi filem, iaitu Light Leak, yang memberikan kesan pencahayaan berlebihan; Halation, yang menghasilkan cahaya lembut di sekitar sumber cahaya; dan Expired Film, yang menyerupai tekstur butiran kasar filem lama. Selain itu, kamera ini turut menawarkan lapan penuras tambahan daripada siri kamera instax untuk memberikan variasi efek visual yang lebih menarik.

image is not available

Dari segi spesifikasi, kamera X half dilengkapi dengan sensor CMOS bersaiz 1-inci dengan teknologi bertindan, serta lensa tetap 10.8mm (F2.8). Kamera ini mampu menghasilkan sudut pandangan yang menyerupai kamera filem pakai buang QuickSnap Fujifilm. Selain itu, ia dilengkapi dengan pemidang tilik optik yang direka untuk komposisi menegak gambar dan video.

image is not available

Kamera ini mempunyai dua skrin sesentuh LCD yang membolehkan pengguna menukar tetapan dengan mudah. Selain itu, ia menawarkan ciri seperti kesan butiran filem dan cap tarikh pada imej, menjadikannya pilihan sesuai bagi mereka yang gemar akan gaya fotografi klasik dan mahu menambah elemen nostalgia pada gambar. Fujifilm X Half dijangka akan mula dijual pada penghujung Jun 2025 dengan harga sekitar $849.99 USD (~RM3,622).