Kemaskini Perisian Pemandu NVIDIA Membenarkan Kad Grafik Terbaru Dipadankan Dengan CPU Lama

TechnologyDigital
14 May 2025 • 1:05 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

NVIDIA baru-baru ini telah mengemaskini perisian pemandu mereka, dan secara ringkasnya apa yang kemaskini ini lakukan ialah ia membenarkan pengguna untuk menggabungkan kad-kad grafik terbaru NVIDIA dengan cip-cip pemprosesan lama.

Perkara ini diperlihatkan oleh TheBobPony di X/Twitter yang mengatakan bahawa dengan kemaskini terbaru ini, dimana perisian pemandu NVIDIA tidak lagi memerlukan set arahan POPCNT (yang kini diperlukan untuk sistem operasi Windows 11 dengan kemaskini 24H2 terbaru).

NVIDIA sebelum ini memerlukan CPU yang dipadankan dengan kad grafik mereka untuk menyokong arahan POPCNT ini sejak kad grafik Maxwell (NVIDIA GTX 700 dan keatas). Dengan kemaskini terbaru ini, mereka yang masih memiliki cip pemprosesan seperti Intel Core 2 Duo yang masih lagi berfungsi boleh menggunakan CPU tersebut dengan kad grafik NVIDIA yang terbaru seperti NVIDIA GeForce RTX 5090 ataupun RTX 5080.

Sebagai ujian, BobPony dilihat menggunakan sebuah kad grafik NVIDIA Quadro K1200 dengan sebuah komputer yang dikuasakan oleh sebuah cip pemprosesan Intel Core 2 Quad Q9650 dan berjaya menggunakannya dengan sistem operasi Microsoft Windows 11 Pro.

Penggunaan PC seperti ini tidaklah begitu praktikal, khususnya jika anda menggunakan sistem operasi Windows 11, kerana seperti yang kami katakan tadi, keperluan CPU dengan sokongan set arahan POPCNT ini adalah keperluan untuk versi terbaru sistem operasi tersebut, dan ia kini akan dimuat-turun secara automatik kepada semua komputer yang menggunakan sistem operasi tersebut ataupun Microsoft Windows 10.