Gadai barang kemas, serah duit lepas diugut scammer

17 Nov 2026 • 8:16 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Gadai barang kemas, serah duit lepas diugut scammer

KUALA TERENGGANU – Seorang pesara wanita berusia lingkungan 60-an berputih mata apabila kerugian hampir setengah juta ringgit selepas diperdaya sindiket penipuan telefon yang menyamar sebagai pegawai polis, bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata mangsa mengalami kerugian sebanyak RM436,036 membabitkan wang simpanan dan hasil gadaian barang kemas miliknya.

Menurutnya, mangsa menerima panggilan telefon daripada individu tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai pegawai polis sebelum mendakwa wanita itu terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram.

“Suspek mendakwa akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik mangsa telah disenaraihitamkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan kononnya siasatan lanjut perlu dijalankan.

“Bagi tujuan tersebut, mangsa diarahkan menyerahkan kad bank miliknya dengan meletakkan kad berkenaan di tepi tong sampah di sebuah pusat beli-belah di Gong Badak, Kuala Nerus,” katanya.

Azli berkata, mangsa turut diarahkan menggadaikan barang kemas miliknya selain memindahkan wang daripada akaun bank lain ke dalam akaun BSN tersebut atas alasan bagi membantu siasatan.

Katanya, mangsa yang mempercayai dakwaan suspek bertindak mengikut arahan diberikan tanpa menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan.

“Bagaimanapun, mangsa mula menyedari dirinya ditipu selepas hadir ke sebuah cawangan BSN semalam untuk mendapatkan penyata akaun bank miliknya.

“Hasil semakan mendapati berlaku pengeluaran wang daripada akaun berkenaan sehingga menyebabkan kerugian keseluruhan RM436,036 dari tempoh 13 Oktober hingga 4 November lalu,” katanya.-KOSMO! ONLINE

The post Gadai barang kemas, serah duit lepas diugut scammer appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved