Gagal memotong, dua penunggang motosikal maut bertembung

4 Sep 2026 • 11:06 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Gagal memotong, dua penunggang motosikal maut bertembung
Dua penunggang motosikal maut selepas bertembung di Jalan Gapam berhampiran Petronas Bemban pada Khamis.

JASIN - Dua penunggang motosikal maut selepas motosikal yang ditunggang mereka bertembung dalam kemalangan di Jalan Gapam berhampiran Petronas Bemban di sini pada Khamis.

Mangsa, Muhammad Thoriq Thani Ahmad Azam, 21, yang merupakan pelajar UiTM Lendu, Alor Gajah dan Md Samsul Mat Halif, 41, bekerja sebagai pemandu lori disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superitenden Lee Robert berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu sekirar jam 11.30 malam.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggang Md Samsul dari arah Ayer Keroh menghala ke Bemban dipercayai memasuki laluan bertentangan ketika memotong kenderaan di hadapannya.

"Pada masa sama, motosikal ditunggang Muhammad Thoriq yang datang dari arah Bemban menghala ke Ayer Keroh sedang bergerak lurus di laluannya sebelum bertembung dengan motosikal berkenaan.

"Akibat kemalangan itu, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya.

Katanya, kedua-dua motosikal mengalami kerosakan di bahagian hadapan dan tiada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) atau kamera papan pemuka (dashcam) diperoleh di lokasi kejadian.

"Kenderaan yang terlibat telah ditahan untuk pemeriksaan kerosakan di Puspakom Alor Gajah.

"Bedah siasat dijadualkan dijalankan di Forensik Hospital Jasin pada pagi ini selepas proses pengecaman mayat," katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved