
KOTA BHARU: Dua sahabat maut selepas basikal yang mereka tunggang ketika menjalani sesi latihan untuk menyertai konvoi ke Thailand, dirempuh sebuah kereta dipercayai terbabas ketika memotong kenderaan lain di Kilometer 18, Lebuh Raya Kota Bharu-Kuala Krai, dekat Ketereh hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, Zamri Rismawadi Mahmat, 50, dan rakannya yang berusia dalam lingkungan 40-an meninggal dunia di lokasi kejadian selepas kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah pada anggota badan.
Abang kepada Allahyarham Zamri Rismawadi, Zamri Risman, 52, berkata, dia merupakan perwakilan dari Selangor yang menghadiri Majlis Perasmian Muktamar Pas di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan, Pengkalan Chepa di sini menerima maklumat mengenai kejadian menimpa adiknya kira-kira pukul 10.45 pagi.
Menurutnya, dia terus ke lokasi kejadian, namun jenazah adiknya sudah dibawa oleh polis ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) di sini.
“Saya terkilan kerana tidak sempat berjumpa dengannya kerana baru sampai di Kelantan malam tadi. Saya memang berhajat untuk bertemu Allahyarham Zamri Rismawadi kerana kami sudah dua bulan tidak bertemu mata.
“Difahamkan, arwah adik sedang dalam sesi latihan menunggang basikal sebagai persiapan untuk menyertai konvoi berbasikal ke Thailand pada minggu depan,” katanya di sini hari ini.
Zamri Risman berkata, Allahyarham adiknya bekerja di HRPZ II tinggal bersendirian di rumahnya di Kampung Rupek, Pasir Hor di sini selepas berpisah dengan isterinya.
Katanya, berbasikal merupakan hobi arwah adiknya kerana sanggup berhabis ribuan ringgit untuk membeli sebuah basikal.
“Jenazah adik dibawa pulang ke rumahnya di Kampung Rupek selepas selesai proses bedah siasat di Unit Forensik, HRPZ II hari ini,” katanya. – UTUSAN
The post Dua sahabat maut dirempuh kereta ketika berbasikal di tepi lebuh raya appeared first on Utusan Malaysia.




![[VIDEO] Perodua Bezza rempuh gajah, tiga terselamat](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/WhatsApp-Image-2026-09-04-at-15.40.52-1024x768.jpeg)
