
SEMPORNA: Tiga penjual udang kara di Pasar Ikan Semporna didenda kompaun sebanyak RM900 oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) kerana gagal mempamerkan tanda harga bagi produk jualan mereka.
Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Semporna Dr Jong Jee Leong berkata denda itu dikeluarkan semasa operasi bersepadu yang dijalankan bersama Majlis Daerah Semporna pada Rabu.
Menurutnya, sebanyak 40 premis perniagaan di Pasar Ikan Semporna telah diperiksa sepanjang operasi berkenaan.
Jong berkata operasi itu dijalankan susulan satu hantaran tular di media sosial yang mendakwa berlaku insiden penipuan melibatkan pelancong dari China dan penjual udang kara di daerah ini.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian itu sebenarnya berlaku enam bulan lalu dan dikongsi semula oleh sebuah halaman Facebook pada 21 Oktober lalu.
“Bertindak atas keprihatinan terhadap pengguna, operasi ini dijalankan bagi memastikan hak pengguna terus dilindungi serta memastikan semua peniaga mematuhi undang-undang dan peraturan yang ditetapkan,” ” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Jong turut mengingatkan semua peniaga supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan sedia ada.
Katanya, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana peniaga yang tidak beretika, sambil menggesa orang ramai supaya menjadi ‘mata dan telinga’ KPDN dengan melaporkan sebarang isu berkaitan harga atau gangguan bekalan melalui saluran rasmi KPDN seperti talian hotline 1-800-886-800, aplikasi EzADU atau portal e-Aduan.



