Gagal rayu hukuman ringan, lelaki kena 20 tahun penjara

8 Sep 2026 • 8:11 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Gagal rayu hukuman ringan, lelaki kena 20 tahun penjara

Mahkamah Rayuan naikkan hukuman penjara lelaki disabit amang seksual terhadap kanak-kanak empat tahun daripada 12 kepada 20 tahun.

PUTRAJAYA: Rayuan seorang lelaki yang bekerja sendiri supaya tempoh penjara kerana melakukan amang seksual fizikal terhadap anak saudara perempuannya berusia empat tahun diringankan tidak berjaya selepas Mahkamah Rayuan hari ini menambah hukuman itu menjadi 20 tahun.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Azman Abdullah berkata mahkamah menggunakan Seksyen 60 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk meningkatkan hukuman yang dikenakan terhadap lelaki berusia 45 tahun itu.

Semasa menyampaikan keputusan sebulat suara itu, Azman berkata peningkatan hukuman itu sebagai amaran kepada perayu dan masyarakat awam supaya tidak memandang ringan sebarang kesalahan, terutamanya kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.

Bagi kesalahan amang seksual, panel tersebut menaikkan hukuman penjara daripada 10 tahun kepada 15 tahun.

Mahkamah juga menaikkan hukuman penjara dua tahun terhadap lelaki itu bagi kesalahan mengikut Seksyen 16 (1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 kepada lima tahun.

Azman memerintahkan supaya dua hukuman itu berjalan secara berasingan, menjadikan tempoh keseluruhan penjara lelaki itu kepada 20 tahun.

Panel hakim yang turut dianggotai Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan K. Muniandy juga mengekalkan hukuman lima sebatan terhadap perayu yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Klang, Selangor.

Mahkamah turut mengekalkan perintah Mahkamah Sesyen supaya lelaki itu menjalani sesi kaunseling dalam tempoh di penjara dan diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas tamat menjalani hukuman.

Sebelum ini, lelaki itu dihukum penjara 12 tahun serta lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen pada 22 Dis 2022 dan Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan itu pada 18 Nov tahun lepas.

Pada prosiding hari ini, peguam K.A. Ramu memberitahu mahkamah anak guamnya meneruskan rayuan terhadap hukuman tetapi menarik balik rayuan terhadap sabitan.

Beliau berkata telah menasihatkan anak guamnya supaya tidak meneruskan rayuan itu, namun lelaki tersebut berkeras untuk berbuat demikian.

Ramu memohon mahkamah untuk mengurangkan hukuman itu kepada antara tujuh dan lapan tahun.

Timbalan Pendakwa Raya Solehah Noratikah Ismail menggambarkan kes itu seperti peribahasa “harapkan pegar, pegar makan padi” dan menyatakan perayu telah mengajak mangsa bermain permainan “jadi-jadi” di tempat letak kereta.

Beliau berkata keputusan lelaki itu untuk meneruskan rayuan menunjukkan dia tidak kesal dengan perbuatannya dan memohon mahkamah menggunakan Seksyen 60 untuk meningkatkan hukuman tersebut.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved