Didakwa Intai Anak Tiri Ketika Mandi, Lelaki Direman 3 Hari 

8 Sep 2026 • 8:15 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Didakwa Intai Anak Tiri Ketika Mandi, Lelaki Direman 3 Hari 

BATU PAHAT - Seorang lelaki berusia 43 tahun direman tiga hari oleh Mahkamah Majistret Batu Pahat selepas didakwa mengintai anak tirinya ketika sedang mandi.

Laporan polis dibuat berhubung kejadian itu turut membongkar dakwaan gangguan seksual yang dikatakan berlaku empat tahun lalu.

Suspek, seorang penganggur diperintahkan menjalani reman bermula hari ini oleh Majistret Aimi Nawwar Mohamad Othman, susulan laporan polis dibuat mangsa, semalam.

Menurut laporan polis, mangsa yang berusia 22 tahun sedang mandi kira-kira jam 10 malam Ahad lalu di rumah mereka di Parit Sulong, sebelum terdengar bunyi seolah-olah seseorang cuba membuka pintu bilik mandi dari luar.

Mangsa kemudian keluar dari bilik mandi dan dimaklumkan kakaknya bahawa bapa tiri mereka mengintainya melalui celah pintu. 

Mangsa selepas itu berdepan dengan suspek untuk mendapatkan penjelasan, namun lelaki berkenaan menafikan dakwaan tersebut sebelum berlaku pertengkaran antara mereka.

Susulan kejadian, gadis terbabit kemudiannya membuat laporan polis dan ia membawa kepada satu lagi dakwaan terhadap suspek, yang dikatakan mencabul mangsa pada April 2022 ketika dia berusia 18 tahun.

Dalam laporan sama, mangsa mendakwa kejadian tersebut berlaku di sebuah bilik di rumah mereka, namun dia tidak membuat laporan polis selepas dinasihatkan oleh ahli keluarganya.

Siasatan awal polis mendapati suspek berkahwin dengan ibu mangsa pada 2014, kira-kira dua tahun selepas bapa kandung mangsa meninggal dunia pada 2012.

Susulan laporan berkenaan, polis menahan suspek di sebuah pusat cucian kereta di Jalan Tanjung Laboh kira-kira jam 1.10 petang semalam.

Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana menyerang atau menggunakan kekerasan jenayah terhadap seseorang dengan niat mencabul kehormatan, serta Seksyen 509 Kanun Keseksaan berkaitan perkataan, isyarat atau perbuatan yang bertujuan mengaibkan kehormatan seseorang. - Getaran, 8 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved