
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Sudah menjadi satu kepastian mana-mana sahaja individu didapati bersalah dijatuhi hukuman oleh mahkamah mengikut kesalahan yang dilakukan.
Lelaki rayu hukuman dikurangkan, mahkamah tambah 20 tahun penjara
Seorang lelaki turut berdepan perkara sama selepas didapati bersalah melakukan amang seksual fizikal ke atas anak saudara yang berusia empat tahun.
Lelaki itu kemudiannya membuat rayuan agar tempoh penjara bagi kesalahan itu diringankan, namun rayuannya itu tidak berjaya sebaliknya Mahkamah Rayuan pada hari ini (8 September) menambah hukuman tersebut kepada 20 tahun (penjara).
Mahkamah guna Seksyen 60 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 tingkatkan hukuman perayu
Memetik Berita Harian, panel tiga hakim bagi prosidng yang diketuai oleh Datuk Azman Abdullah memaklumkan mahkamah menggunakan Seksyen 60 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk meningkatkan hukuman yang dikenakan ke atas lelaki terbabit.
Sewaktu keputusan memaklumkan keputusan itu, Azman menjelaskan peningkatan hukuman penjara 20 tahun itu adalah sebagai amaran kepada lelaki berusia 45 tahun itu serta masyarakat awam agar tidak memandang enteng sebarang kesalahan, khususnya melibatkan kesalahan seksual terhadap kanak-kanak.
Hukuman yang dinaikkan oleh panel hakim
Susulan daripada kesalahan amang seksual itu, pihak panel telah menaikkan hukuman seperti:
- Hukuman penjara dari 10 tahun kepada 15 tahun
- Hukuman penjara dua tahun terhadap lelaki terbabit atas kesalahan di bawah Seksyen 16(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 kepada lima tahun.
Bukan hanya itu, Azman juga mengarahkan agar dua hukuman tersebut dilakukan secara berasingan.
Perkara itu sekali gus menjadikan tempoh keseluruhan penjara lelaki berkenaan kepada 20 tahun.
Hukuman lima sebatan dikekalkan
Dalam masa sama, panel hakim yang turut dianggotai, Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz serta K Muniandy juga mengekalkan hukuman sebanyak lima sebatan ke atas lelaki yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen Klang, Selangor.
Selain itu mahkamah juga mengekalkan perintah Mahkamah Sesyen Klang agar lelaki tersebut perlu menjalani sesi kaunseling sewaktu tempoh dipenjara serta diletakkan di bawah pengawasan pihak polis selama dua tahun selepas selesai menjalani hukumannya.
Pada 22 Disember 2022 lelaki berkenaan dihukum penjara untuk tempoh 12 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan berkenaan pada 18 November 2025.
Peguam dah nasihat perayu untuk tak teruskan rayuan, sebelum minta kurangkan hukuman
Sewaktu prosiding dilakukan hari ini peguam, KA Ramu yang mewakili lelaki terbabit memaklumkan kepada mahkamah anak guamnya meneruskan rayuan ke atas hukuman namun mahu menarik semula rayuan terhadap sabitan.
Jelasnya, dia juga sudah menasihatkan anak guamnya agar tidak meneruskan rayuan berkenaan.
Akan tetapi anak guamnya itu berkeras untuk melakukan rayuan tersebut. Ramu kemudian meminta mahkamah untuk mengurangkan hukuman berkenaan kepada antara tujuh dan lapan tahun.
Keputusan lelaki teruskan rayuan tunjuk tak kesal dengan kesalahan dilakukan
Walau bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya, Solehah Noratikah Ismail kemudiannya menggambarkan kes terbabit seperti peribahasa “harapkan pegar, pegar makan padi” serta menyatakan lelaki itu mengajak mangsa (kanak-kanak) bermain permainan “jadi-jadi” di tempat letak kereta atau parkir.
Jelas Solehah, keputusan perayu itu untuk meneruskan rayuan turut menunjukkan dia tidak kesal atas perbuatan dilakukan serta memohon mahkamah menggunakan Seksyen 60 untuk meningkatkan hukuman tersebut.






