Gaji minimum: Pertembungan pekerja, majikan menjelang Belanjawan 2027

LocalBusiness & Finance
7 Oct 2026 • 7:00 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Gaji minimum: Pertembungan pekerja, majikan menjelang Belanjawan 2027
Kerajaan sebelum ini menetapkan kadar gaji minimum RM1,700 sebulan yang dilaksanakan sepenuhnya kepada semua majikan mulai 1 Ogos 2025. - Gambar hiasan

DI satu sisi, pekerja mendesak gaji lebih tinggi kerana kos sara hidup terus menghimpit.

Di sisi lain, majikan pula berdepan persoalan sama ada mereka mampu menyerap kenaikan kos tanpa menjejaskan operasi, keuntungan dan peluang pekerjaan.

Pertembungan kepentingan ini yang bakal menjadikan isu gaji minimum antara perkara paling dinanti menjelang pembentangan Belanjawan 2027 pada 9 Oktober ini.

Persoalannya kini bukan lagi sekadar sama ada gaji minimum akan dinaikkan, tetapi berapa tinggi kenaikan yang mampu diterima pekerja tanpa menjerut kelangsungan perniagaan.

Kerajaan sebelum ini menetapkan kadar gaji minimum RM1,700 sebulan yang dilaksanakan sepenuhnya kepada semua majikan mulai 1 Ogos 2025.

Namun, dalam suasana kos kehidupan yang semakin meningkat, timbul persoalan sama ada kadar berkenaan masih mencukupi untuk memastikan pekerja berpendapatan rendah menikmati kehidupan yang lebih selesa.

Bagi pekerja, setiap tambahan ringgit membawa makna besar ketika berdepan kos makanan, perumahan, pengangkutan dan keperluan keluarga.

Bagi majikan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), kenaikan gaji bukan sekadar menambah angka pada slip gaji pekerja.

Ia turut bermakna peningkatan kos operasi, caruman berkaitan pekerja dan kemungkinan kenaikan kos pengeluaran yang akhirnya boleh memberi kesan kepada harga barangan serta perkhidmatan.

Kerajaan berada di tengah-tengah pertembungan dua tuntutan yang sama-sama mempunyai asas.

Pekerja mahukan pendapatan yang lebih munasabah, manakala majikan mahukan ruang untuk terus beroperasi dan menyediakan pekerjaan.

Arahan Perdana Menteri supaya pelaksanaan gaji minimum diteliti secara menyeluruh memberi isyarat bahawa kerajaan sedar isu ini tidak boleh diputuskan berdasarkan satu angka semata-mata.

Jika pengumuman dibuat dalam Belanjawan 2027, cabaran sebenar kerajaan bukan sekadar menentukan kadar baharu, tetapi memastikan kenaikan itu tidak menjadi kemenangan sebelah pihak sahaja.

Akhirnya, dasar gaji minimum perlu mencari titik tengah antara hak pekerja untuk memperoleh pendapatan wajar dan hak majikan untuk terus bertahan dalam persekitaran perniagaan yang mencabar.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved