
SHAH ALAM, 10 OKT: Kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan dilihat mampu membantu pekerja, khususnya golongan berpendapatan rendah menghadapi kos sara hidup.
EXCO Sumber Manusia V Papparaidu berkata kenaikan yang diumumkan menerusi Belanjawan 2027 itu mampu memberi kelegaan kepada pekerja kumpulan bawahan.
“Saya lihat Belanjawan 2027 ini memberi manfaat dan sangat penting kepada masyarakat kumpulan bawahan. Ini juga satu lonjakan yang bagus dan besar untuk rakyat.
“Bagi saya, Belanjawan 2027 ini juga mengutamakan rakyat dan peningkatan gaji minimum akan memberi keselesaan kepada pekerja,” katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Tawaran Bantuan Yuran Pengajian IPTA dan IPTS bagi Pelajar Komuniti India B40 di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini.
Dalam majlis itu, seramai 586 pelajar komuniti India dari seluruh Selangor terpilih menerima bantuan dengan jumlah peruntukan RM1.5 juta.
Setiap pelajar peringkat ijazah menerima bantuan yuran pengajian sebanyak RM3,000, manakala pelajar diploma masing-masing menerima RM2,000.
Semalam, kerajaan mengumumkan kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan yang akan berkuat kuasa mulai Jun 2027.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan hasil jualan di bawah RM50 juta dikecualikan daripada pelaksanaan itu bagi memberi ruang kepada mereka menyesuaikan model perniagaan.






