Gaji minimum RM2,000 dijangka tingkat pendapatan tanpa kenaikan inflasi - Penganalisis

LocalBusiness & Finance
9 Oct 2026 • 8:48 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Gaji minimum RM2,000 dijangka tingkat pendapatan tanpa kenaikan inflasi - Penganalisis Image from: Gaji minimum RM2,000 dijangka tingkat pendapatan tanpa kenaikan inflasi - Penganalisis sarah09/10/2026 - 08:48 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 9 Okt -- Potensi kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 dijangka meningkatkan pendapatan isi rumah dan permintaan domestik tanpa mencetuskan lonjakan inflasi yang ketara, menurut BIMB Securities.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kenaikan gaji minimum sebelum ini tidak mencetuskan tekanan inflasi ketara, dengan gaji median meningkat lebih pantas berbanding Indeks Harga Pengguna (IHP) dan Indeks Harga Pengeluar (IHPR).

 

BIMB Securities berkata, gaji bulanan median di Malaysia meningkat daripada kira-kira RM1,500 pada 2010 kepada RM2,957 pada 2025, seiring kenaikan gaji minimum daripada RM900 pada 2013 kepada RM1,700 pada 2025.

 

Menurut firma itu, inflasi makanan kekal sebagai pemacu utama tekanan kos sara hidup, dengan makanan menyumbang kira-kira 30% daripada wajaran bakul IHP.

 

Justeru, kenaikan gaji minimum kepada RM2,000 lebih berkemungkinan meningkatkan pendapatan pekerja berbanding mencetuskan lonjakan inflasi mendadak, katanya.

 

Pekerja muda dijangka menjadi antara penerima manfaat terbesar, dengan pendapatan median bagi mereka berusia 15 hingga 19 tahun diunjurkan sekitar RM1,899 pada 2026, di bawah paras gaji minimum yang dicadangkan.

 

BIMB Securities berkata, pelaksanaan gaji minimum RM2,000 pada 2027 berpotensi meningkatkan pendapatan median kumpulan itu sebanyak 5.3%, selain mengukuhkan insentif untuk menyertai pasaran tenaga kerja.

 

Bagaimanapun, impaknya dijangka tidak sekata merentas industri, khususnya sektor pembuatan yang berintensifkan buruh.

 

konsumer

 

Sementara itu, Kenanga Research berkata, kuasa beli isi rumah dijangka terus disokong bantuan fiskal bersasar seperti Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), selain potensi kenaikan gaji.

 

Bagaimanapun, peningkatan kos buruh, elektrik, pengangkutan barangan dan input terpilih, serta keupayaan pengguna menerima kenaikan harga yang terhad, boleh memberi tekanan kepada margin keuntungan syarikat.

 

Kenanga Research turut melihat normalisasi kadar dasar semalaman (OPR) sebagai potensi cabaran, dengan meramalkan kemungkinan kenaikan 25 mata asas pada suku pertama 2027.

 

Berdasarkan rekod terdahulu, sentimen pengguna dan harga saham melemah susulan dua daripada tiga kitaran kenaikan OPR sebelum ini.

 

Walaupun berdepan cabaran, Kenanga Research mengekalkan saranan 'Overweight' terhadap sektor pengguna dan mengutamakan syarikat dengan permintaan defensif, pendedahan kos terkawal serta prospek pendapatan lebih jelas. QL Resources Bhd kekal sebagai pilihan utamanya dengan penarafan 'Outperform' dan harga sasaran RM4.40.- DagangNews.com

 

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved