
GEORGE TOWN – Pendapatan atau gaji rakyat dijangka menjadi antara keutamaan dalam Belanjawan 2027 susulan perkembangan positif ekonomi negara, kata Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir.
Beliau berkata, kerajaan melihat sudah tiba masanya perbincangan berkaitan perkara tersebut diberi perhatian lebih serius selaras dengan pertumbuhan ekonomi yang semakin baik.
“Sudah sampai masanya perbincangan ataupun diskusi berkaitan pendapatan ataupun gaji rakyat kebanyakannya terus diletakkan sebagai keutamaan.
“Jadi, menjadi pengharapan agar dalam Belanjawan ini kita ada keupayaan untuk menyatakan komitmen dari segi bagaimana kedudukan gaji untuk rakyat Malaysia ini kita dapat semak ataupun perbaiki lagi kedudukannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program KL20 di Penang Waterfront Convention Centre (PWCC) di sini, hari ini.
Jelas Akmal, usaha meningkatkan pendapatan rakyat perlu dilaksanakan seiring dengan keupayaan syarikat supaya pertumbuhan gaji dapat disokong oleh perkembangan sektor ekonomi.
Dalam perkembangan sama, Akmal turut mengumumkan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Ekonomi menyalurkan RM25 juta di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) bagi penubuhan National Automation, Testing and Equipment (ATE) Campus di Batu
Kawan di sini. -KOSMO! ONLINE
The post Gaji rakyat antara keutamaan Belanjawan 2027 – Akmal appeared first on Kosmo Online.






