Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyambut baik cadangan Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu untuk menyerahkan gaji menterinya bagi membiayai usaha memperjuangkan mekanisme tahanan rumah.
Satu langkah yang baik dan berharap dipertimbangkan
Memetik laporan daripada Astro Awani, Zahid yang juga Presiden UMNO menyatakan cadangan tersebut merupakan satu langkah yang baik dan berharap Mohamad turut mempertimbangkan pemberian elaun sekiranya benar-benar berniat membantu usaha berkenaan.
“Bagus. Itu cadangan yang baik dan saya harap bukan sahaja gaji, tetapi elaun beliau juga harus diberikan kalau itu niat untuk membantu,” katanya.

Terdahulu, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu menyatakan kesediaan menyerahkan keseluruhan gajinya sebagai menteri sehingga pembubaran Parlimen bagi menyokong usaha organisasi masyarakat sivil (CSO) yang memperjuangkan mekanisme tahanan rumah.
Walau bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa sumbangan tersebut tidak melibatkan elaun berjumlah RM11,900 yang diterimanya.

Usaha berkenaan bertujuan memperjuangkan mekanisme yang membolehkan banduan menjalani separuh daripada tempoh hukuman di penjara sebelum dipindahkan ke tahanan rumah.
Dalam masa sama, Mohamad turut menegaskan bahawa prinsip keadilan perlu ditegakkan tanpa diskriminasi, keistimewaan terpilih atau layanan berbeza terhadap mana-mana banduan.
Sumber: Astro Awani (Shafiqa Azami)






