Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Ahli keluarga Datuk Seri Najib Razak serta individu lain tidak dibenarkan untuk menetap bersama bekas Perdana Menteri itu sepanjang beliau menjalani baki hukuman penjara menerusi kaedah tahanan di rumah.
EXCO Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid, menjelaskan bahawa isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor, dipercayai akan kekal menetap di kediamannya di Pavilion sepanjang tempoh berkenaan.
Artikel berkaitan: Dari Kajang Ke Langgak Duta, Ini 8 Perkara Yang Berlaku Sepanjang Proses Tahanan Rumah Najib Razak
Artikel berkaitan: DS Najib Razak Sekeluarga Kini Sedang Berdepan Liabiliti Kewangan Cecah RM21 Bilion
Menurut Nurulhidayah, status kediaman di Taman Duta itu telah diwartakan secara rasmi sebagai penjara, sekali gus tertakluk kepada kawalan serta prosedur ketat pihak berkuasa. Mana-mana urusan pembelian makanan secara dalam talian (online) juga tidak dibenarkan sama sekali.
View on Threads
“Tidak boleh dan rumah itu pun diwartakan sebagai penjara. Memang konsep penjara anak bini tidak ada dalam itu.
Anak bini dia bukan tinggal sekali. DSR (Rosmah) duduk Pavilion,” katanya menerusi ruangan replies di platform Threads.
Penjelasan tersebut diberikan bagi menjawab pertanyaan pengguna laman sosial mengenai pelaksanaan kaedah tahanan di rumah serta kebenaran untuk ahli keluarga berada di lokasi yang sama.
Waktu Melawat & Bekalan Makanan Ditentukan Penjara
Nurulhidayah turut menambah bahawa waktu lawatan serta urusan penyediaan makanan dan minuman akan dikendalikan sepenuhnya oleh pihak Jabatan Penjara mengikut prosedur piawai yang ditetapkan.
“Terima kasih tanya sebab nak tahu. Letih baca fitnah dari orang-orang yang terpaling tahu semua.
Oh ya. Makanan minuman semua penjara yang tentukan,” tambahnya.
Terdahulu, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Aslam Zainuddin, membatalkan Perintah Pelepasan Atas Pembayaran Denda bertarikh 6 November lalu dan menggantikannya dengan perintah pemindahan Najib dari Penjara Kajang ke kediamannya di Taman Duta berkuat kuasa serta-merta.
Keputusan itu dibuat selaras dengan Perintah Pengampunan Bersyarat bagi membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara sehingga 23 Ogos 2028 berkaitan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.
Sumber: Threads
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.





