
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Isu pelaksanaan baki hukuman perintah tahanan rumah oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masih hangat lagi diperkatakan sehingga kini.
Ramai yang memberi pendapat masing-masing mengenai isu terbabit namun pada masa sama ada juga yang tertanya-tanya bagaimana baki hukuman itu dilaksanakan.
Rosmah Tinggal Di Pavilion, Tidak Tinggal Sekali Dengan Najib Ketika Jalani Perintah Tahanan Rumah
Terbaharu, Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid mendedahkan ahli keluarga serta individu lain tidak dibenarkan tinggal bersama Najib sepanjang beliau menjalani tempoh perintah tahanan rumah itu.
Jelas Nurulhidayah yang juga anak kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi balasan komen terhadap seorang pengguna di aplikasi Threads, Datin Seri Rosmah Mansor akan menetap di kediaman mereka di Pavilion.
Ini kerana jelasnya, kediaman pasangan itu di Langgak Duta yang menjadi lokasi Najib menjalani perintah tahanan rumah telah diwartakan sebagai penjara.
“Rumah itu pun diwartakan sebagai penjara. Memang konsep penjara, anak bini tidak ada dalam tu.
“Anak bini dia bukan tinggal sekali. Datin Seri Rosmah Mansor duduk Pavilion,” kongsinya.
Masa Lawatan Sama Seperti Penjara, Makan & Minum Penjara Yang Tentukan
Kongsi Nurulhidayah lagi, waktu lawatan juga ditetapkan sama seperti mereka yang berada di dalam penjara.
“Kalau nak melawat pun, ada masa lawatan yang ditetapkan seperti orang dalam penjara.
“Terima kasih la tanya sebab nak tahu. Letih baca fitnah dari orang-orang yang terpaling tahu semua itu.
“Makanan minuman semua penjara yang tentukan,” tulisnya.
Nurulhidayah berkata demikian selepas ditanya mengenai pelaksanaan perintah tahanan rumah oleh pengguna Threads.
View on Threads
Syarat Tahanan Perintah Tahanan Najib Di Rumah Dijangka Didedah Esok
Dalam pada itu, persoalan mengenai pelaksanaan tahanan rumah yang dijalani oleh Najib dijangka akan terjawab pada esok hari (12 November).
Lapor Kosmo yang memetik New Straits Times, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dijangka akan memberi penjelasan dan menjawab segala persoalan mengenai isu berkenaan di Parlimen.
“Semua persoalan itu akan saya jawab di Parlimen esok,” jelasnya.
Sebelum ini, media melaporkan kediaman Najib telah diwartakan sebagai penjara bagi maksud pemenjaraan atau penahanan orang dalam jagaan sah.
Perkara itu diisytiharkan oleh Saifuddin mengikut peruntukan di bawah Seksyen 3 Akta Penjara 1995 [Akta 537] dan turut disiarkan menerusi portal rasmi Jabatan Peguam Negara (AGC).
Mengikut warta tersebut, kawasan terlibat merangkumi semua bangunan dan kawasan tanah seluas 4,558.975 meter persegi di No. 11, Jalan Langgak Duta yang terletak di atas Lot 5746, Mukim Kuala Lumpur, Daerah Kuala Lumpur.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membatalkan Perintah Pelepasan Atas Pembayaran Denda yang dikeluarkan pada Jumaat (6 November) lalu dan menggantikannya dengan perintah yang baharu.
Perintah terbaharu yang berkuat serta merta selaras dengan Perintah Pengampunan Bersyarat membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara secara tahanan rumah di kediamannya yang terletak di Langgak Duta.
Najib diperintah menjalani tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028 sebelum kembali ke Penjara Kajang pada 24 Ogos tahun sama untuk menjalani hukuman yang mengaitkan beliau dengan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Baca Artikel Berkaitan: Mahkamah Benarkan Najib Jalani Tahanan Rumah, Anthony Loke Letak Jawatan Serta-merta
Baca Artikel Berkaitan: Apa Itu Akta Tahanan Rumah? Ini Apa Yang Patut Anda Tahu
Baca Artikel Berkaitan: Najib Telah Selesaikan Bayaran Denda RM50 Juta Untuk Jalani Perintah Tahanan Di Rumah – Peguam





