Mohamad Sabu cadang banduan jalani separuh hukuman di rumah

LocalPolitics
11 Nov 2026 • 6:02 PM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mencadangkan mekanisme tahanan rumah yang adil kepada semua banduan.

Ahli Parlimen Kota Raja, Datuk Seri Mohamad Sabu menyatakan kesediaan menyerahkan keseluruhan gajinya sebagai menteri sehingga pembubaran Parlimen penggal ini bagi membantu membiayai usaha badan bukan kerajaan (NGO) memperjuangkan mekanisme tahanan rumah yang adil kepada semua banduan.

Beliau yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, langkah itu merupakan komitmennya dalam memastikan prinsip kesaksamaan di sisi undang-undang terus dipelihara tanpa mengira kedudukan, pengaruh politik mahupun hubungan kekeluargaan.

Menerusi kenyataan media hari ini, Mohamad menggesa supaya satu mekanisme perundangan diwujudkan bagi membolehkan banduan menjalani separuh tempoh hukuman di penjara, manakala baki separuh lagi melalui tahanan rumah.

Menurutnya, pelaksanaan mekanisme berkenaan perlu berlandaskan peraturan yang adil, telus dan terpakai kepada semua tanpa memberikan keistimewaan kepada mana-mana golongan tertentu.

“Undang-undang mesti adil kepada semua. Keadilan tidak boleh menjadi hak eksklusif golongan tertentu. Malaysia tidak boleh mengamalkan sistem keadilan dua darjat,” tegasnya.

Dalam pada itu, Mohamad menjelaskan pendiriannya berhubung isu tahanan rumah bukan didorong oleh sebarang pertikaian peribadi dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak atau ahli keluarganya.

Sebaliknya, beliau menegaskan pendirian tersebut berasaskan prinsip Keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang yang perlu dihormati oleh semua pihak.

Sehubungan itu, beliau menyeru NGO, pengamal undang-undang serta masyarakat sivil supaya bersama-sama memperjuangkan pembentukan mekanisme tahanan rumah yang dapat menjamin hak saksama kepada setiap warganegara.

“Keadilan mesti ditegakkan tanpa diskriminasi, tanpa keistimewaan terpilih dan tanpa layanan dua darjat,” katanya.

The post Mohamad Sabu cadang banduan jalani separuh hukuman di rumah appeared first on The Reporter.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved