Galakkan EV akibat harga minyak mahal tetapi dasar baru EV paksa pilih Proton, Perodua saja

LocalCars
8 May 2026 • 7:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Galakkan EV akibat harga minyak mahal tetapi dasar baru EV paksa pilih Proton, Perodua saja Image from: Galakkan EV akibat harga minyak mahal tetapi dasar baru EV paksa pilih Proton, Perodua saja Eksponen08/05/2026 - 07:00 Oleh WAN MOHD FARID WAN ZAKARIA editor@dagangnews.com

Ada sesuatu yang sangat Malaysia dalam cara kita membahaskan kereta elektrik. Kita menyebut EV sebagai teknologi masa depan, tetapi menguruskannya dengan logik lama: permit, harga lantai, kelonggaran sementara, semakan dasar, perlindungan industri dan akhirnya satu watak yang sentiasa diminta bersabar, iaitu rakyat.

 

Seolah-olah masa depan hanya boleh sampai kepada pengguna biasa selepas ia terlebih dahulu melalui lorong birokrasi, pagar industri dan kalkulator kepentingan nasional.

 

Perdebatan EV CBU bukan sekadar soal kereta import lawan kereta nasional. Itu bacaan yang terlalu sempit. Di tengah tekanan harga minyak dan penstrukturan subsidi, EV sepatutnya menjadi sebahagian daripada penyelesaian kos sara hidup.

 

Namun persoalannya, mengapa akses kepada teknologi yang lebih cekap, selamat dan bersih itu kelihatan semakin terbatas?

 

Pasaran Masih Muda, Dasar Sudah Mengetat

Angka pasaran memberi konteks yang tidak boleh diketepikan. TIV Malaysia meningkat daripada 816,747 unit pada 2024 kepada 820,752 unit pada 2025, manakala jualan BEV melonjak daripada 14,766 kepada 30,848 unit. Namun pertumbuhan bukan bererti kematangan. BEV sedang berkembang, bukan mendominasi.

 

Dalam keadaan pasaran yang masih muda inilah MITI mengesahkan bahawa mulai 1 Julai 2026, EV CBU perlu melepasi dua pagar baharu: nilai CIF minimum RM200,000 dan kuasa motor sekurang-kurangnya 180 kW.

 

Stok sedia ada masih diberi ruang untuk dijual, tetapi selepas itu isyarat dasarnya jelas: EV import mampu milik perlu melalui pintu pasaran yang lebih sempit, lebih mahal dan lebih selektif.

 

Yang lebih penting, angka itu perlu dibaca bersama struktur harga. Jika sebahagian besar EV mampu milik bergantung kepada CBU sebelum CKD benar-benar bersedia, mengetatkan akses import terlalu awal bukan sekadar langkah industri. Ia menjadi campur tangan langsung terhadap kelajuan penurunan harga. Dalam pasaran muda, persaingan bukan gangguan. Persaingan ialah mekanisme pendidikan harga.

 

Dua Bil Untuk Satu Rakyat

Paradoks paling mahal dalam ekonomi harian Malaysia bukan terletak pada harga kereta, tetapi pada cara beban disusun. Kenaikan kos bahan api diminta difahami sebagai realiti pasaran. Penyasaran subsidi diminta diterima sebagai disiplin fiskal. Perlindungan pengeluar tempatan pula diminta dihormati sebagai tanggungjawab nasional.

 

Akhirnya, rakyat membayar dua bil untuk satu bentuk mobiliti. Petrol dibayar di stesen minyak. Perlindungan pula dibayar melalui pilihan yang hilang.

 

Bil pertama mudah dilihat: harga seliter, jumlah liter dan baki akaun. Bil kedua lebih licik: EV yang lambat turun harga, model mampu milik yang semakin terhad, teknologi keselamatan yang lambat sampai dan persaingan yang ditapis sebelum sempat mendisiplinkan pasaran.

 

Perbahasan ini tidak boleh berhenti pada harga EV semata-mata. Ia perlu bergerak kepada persoalan yang lebih penting: bilakah kos perlindungan industri akan kembali kepada rakyat dalam bentuk pilihan yang lebih luas, teknologi yang lebih baik dan harga yang lebih munasabah?

 

Minyak Mahal, Teknologi Dijadikan Eksklusif

Apabila petrol tanpa subsidi jauh lebih mahal daripada harga bersubsidi, manakala RON97 dan diesel pasaran menunjukkan kos sebenar mobiliti berasaskan bahan api, EV sepatutnya menjadi pintu keluar yang rasional. Bukan pintu VIP. Bukan pintu pameran. Bukan aksesori moral untuk golongan yang mahu kelihatan hijau sambil terus hidup dalam zon selesa.

 

Dalam ekonomi isi rumah, EV bukan simbol kemewahan. Ia boleh menjadi lindung nilai terhadap kos mobiliti yang semakin tidak menentu.

 

Kos tenaga hariannya lebih rendah, penyelenggaraannya lebih ringkas, teknologi keselamatannya semakin maju dan kebergantungannya kepada petrol jauh lebih kecil. Semua itu bukan kemewahan apabila kos hidup sedang menekan. Itu alat pertahanan.

 

Masalahnya, apabila EV mampu milik disempitkan sebelum pasaran cukup matang, keluarga biasa dipaksa memilih antara dua pilihan yang sama-sama mahal: kereta petrol yang kos penggunaannya semakin menekan atau EV yang harga pemilikannya masih di luar jangkauan.

 

Bahasa rasminya mungkin peralihan tenaga. Kesan ekonominya, jika tidak diurus dengan jujur, ialah pemindahan beban.

 

4 dekad lindung Proton, 3 dekad jaga Perodua

Malaysia memang berhak melindungi industri automotifnya. Negara yang serius tidak boleh selama-lamanya menjadi bilik pameran kepada jenama asing.

 

Kilang, vendor, jurutera, kandungan tempatan dan eksport bukan hiasan dasar; semuanya ialah syarat untuk naik dalam rantaian nilai. Tiada ekonomi maju lahir daripada tabiat membeli teknologi tanpa keberanian membina keupayaan sendiri.

 

Namun selepas empat dekad Proton dan lebih tiga dekad Perodua, perlindungan tidak lagi boleh dijual sebagai sentimen. Ia mesti dibentangkan sebagai kontrak prestasi.

 

Sekiranya EV CBU mahu diperketat bagi mendorong CKD, tunjukkan persamaannya kepada rakyat. Berapa tahun perlindungan ini diberikan? Berapa kandungan tempatan mesti dicapai? Berapa vendor akan naik kelas? Berapa jurutera baharu akan dilatih? Berapa unit akan dieksport? Berapa model bawah RM100,000 benar-benar tersedia di pasaran, bukan sekadar wujud dalam slaid pelancaran?

 

Tanpa jawapan yang boleh diaudit, perlindungan bukan dasar industri. Ia cukai tersembunyi. Cukai paling licik bukan yang dipungut melalui resit rasmi. Cukai paling licik ialah yang dipungut melalui pilihan yang tidak pernah diberi.

 

Melindungi Industri Dengan Tegas

Proton dan Perodua boleh terus diberi ruang. Namun ruang itu mesti menjadi tekanan untuk berubah, bukan kusyen untuk terus selesa.

 

Dasar yang baik tidak menidurkan pengeluar nasional; sebaliknya memaksa mereka berlari. Kecekapan perlu ditingkatkan, harga perlu lebih munasabah, teknologi perlu dipertingkat, eksport perlu berkembang, vendor perlu naik kelas dan pekerjaan berkemahiran tinggi mesti diwujudkan. Tanpa semua itu, pagar pasaran bukan lagi alat pembelajaran. Ia menjadi mesin penangguhan.

 

Tidak adil untuk menafikan kemajuan Proton dan Perodua dalam ruang EV. e.MAS, kapasiti Tanjung Malim dan QV-E menunjukkan bahawa pemain nasional tidak lagi sekadar bercakap tentang elektrifikasi. Namun kemajuan itu perlu diuji oleh pasaran, bukan diselamatkan daripada pasaran.

 

Pada satu tahap, rakyat berhak bertanya: selepas cukai, subsidi, harga kereta, pilihan terhad dan kos minyak, apakah pulangan industri kepada pembayar sebenar semua ini?

 

Apabila Masa Depan Dijual Terlalu Mahal

Akhirnya, dasar EV hanya bermakna jika ia mengurangkan beban rakyat, bukan meninggikan pagar pasaran.

 

Perlindungan yang berjaya menjadikan industri lebih berdaya saing dan pengguna lebih beruntung. Yang gagal pula hanya menukar kelemahan industri menjadi bil berulang kepada rakyat.

 

Ketika minyak semakin mahal dan subsidi semakin disasar, EV sepatutnya menjadi jalan keluar.

 

Jika rakyat terus membayar lebih untuk menerima kurang, itu bukan dasar masa depan. Itu masa silam yang masih dibiayai pengguna. - DagangNews.com

 

Wan Mohd Farid Wan Zakaria merupakan Pensyarah Kanan di Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM). Beliau juga merupakan penganalisis yang sering memberikan ulasan pakar mengenai isu korporat dan ekonomi, seperti prestasi firma perniagaan.
Kolumnis Terkini featured standard